SANAA – Beberapa kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditahan pejuang kumpulan Houthi awal minggu ini kerana disyaki menjadi pengintip kepada Israel dan Amerika Syarikat (AS), kata seorang pejuang kumpulan itu yang tidak mahu dikenali kepada AFP.
Sekurang-kurangnya 11 pekerja PBB ditahan pada Ahad lalu selepas serangan udara yang dilakukan Israel menyebabkan Perdana Menteri dan kira-kira separuh anggota Kabinetnya terbunuh.
“Mereka yang ditahan antaranya kakitangan PBB yang didakwa menjadi perisik kepada serangan Amerika dan Israel
“Sesiapa sahaja mempunyai pertuduhan terhadap mereka disahkan akan dirujuk kepada perbicaraan,” katanya.
Tahanan tersebut termasuk pekerja Program Makanan Dunia dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menyediakan bantuan dan sokongan kepada kanak-kanak.
Berpuluh-puluh orang ditahan pada Sabtu lalu kerana disyaki bekerjasama dengan Israel, menurut seorang kakitangan keselamatan Yaman kepada AFP.
Penahanan tersebut dilakukan selepas Perdana Menteri, Ahmed Ghaleb Nasser al-Rahaw; sembilan Menteri dan dua pegawai Kabinet terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan Israel pada Khamis lalu.
Ia merupakan pembunuhan berprofil tinggi dalam siri serangan Israel terhadap kumpulan Houthi.
Malah sebelum penahahan pada Ahad lalu, Kumpulan Houthi telah menahan kakitangan PBB sejak 2021.
Mereka mendakwa penahanan, termasuk seorang pengintip rangkaian perisikan Amerika-Israel, yang dilakukan pada Jun 2024 berselindung di sebalik organisasi kemanusiaan, yang mana dakwaan tersebut dinafikan PBB. – AFP















