KUALA LUMPUR – Kompleks Pasar Raja Bot yang diuar-uarkan sebagai mercu tanda moden di Chow Kit masih gagal menarik pelanggan walaupun sudah lebih setahun peniaga dipindahkan ke bangunan baharu itu.
Keadaan lengang di dalam kompleks itu menyebabkan ramai peniaga menanggung kerugian hingga ada yang terpaksa menutup gerai, membuang stok makanan basah selain bergelut membayar sewa tapak.

Pengerusi Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Kawasan Chow Kit, Yusnaedy Idrus yang juga peniaga santan sejak hampir tiga dekad lalu menegaskan, kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyusun semula lokasi jualan merupakan punca utama pelanggan enggan masuk ke dalam kompleks.
“Masalah paling besar sekarang ialah susun atur yang tidak adil. Ikan ada di luar, ikan ada di dalam. Ayam ada di luar, ayam ada di dalam. Jadi pembeli rasa tak ada beza dan mereka lebih suka beli di luar kerana lebih mudah.
“Kalau DBKL serius mahu tarik pembeli masuk, mereka kena susun semula. Contohnya ayam di dalam, ikan di luar. Biar ada sebab untuk orang masuk kompleks ini. Kalau tidak, sampai bila pun pasar ini akan terus sepi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan peniaga dalam kompleks seperti terpinggir kerana aliran pelanggan tidak tertumpu malah terpecah dua akibat kewujudan pasar luar yang hanya berjarak 10 meter.
“Dulu, jualan kelapa boleh cecah 200 biji sehari, sekarang nak dapat 100 pun susah. Bila nak raya dulu, orang beratur panjang tapi sejak kami pindah ke sini tiga kali raya sudah berlalu, semuanya menghampakan.
“DBKL janji pasar pertama siap dalam lapan bulan tetapi ambil bertahun-tahun. Pasar kedua pula siap selepas 11 tahun. Sekarang Fasa 3 entah bila mahu mula. Janji tinggal janji, kami yang jadi mangsa,” ujarnya.

Lebih membebankan, DBKL kini tetap mengarahkan peniaga membayar sewa bulanan sekitar RM500 sebulan bermula September meskipun projek masih belum siap sepenuhnya dan pembeli tidak ramai.
“Kami akan hantar surat kepada Datuk Bandar, mohon projek ini disiapkan dahulu sebelum sewa dikutip. Bagaimana kami nak bayar kalau jualan hampir tiada? Setahun RM6,000, nak pegang duit sebanyak itu pun tak ada,” tambahnya.

Peniaga makanan laut, Chiw pula berkata, keadaan semakin teruk apabila setiap minggu beliau terpaksa membuang antara 10 hingga 30 kilogram ikan segar kerana tiada pembeli.
“Kalau dulu pendapatan sebulan boleh cecah RM12,000, sekarang tinggal lebih kurang RM6,000 sahaja. Itu pun masih rugi sebab banyak barang kena buang.
“Janji nak siapkan pasar dalam 10 bulan pun tidak ditepati. Sekarang sudah masuk bulan kesembilan, tanah di tapak Fasa 3 masih kosong, tak diusik langsung. Macam mana kami nak percaya?” soalnya.

Katanya, keadaan meja dan fasiliti di kompleks juga semakin rosak walaupun baru digunakan menambah kesukaran peniaga untuk menarik pelanggan.
“Meja pun sudah buruk, barangan segar jadi buruk sebab jualan tidak berjalan. Kami datang sini nak cari rezeki, bukan nak buang barang. Sampai bila boleh tahan macam ini?” soalnya.

Seorang lagi peniaga ayam, Aspalela Mohamed Razali yang sudah 40 tahun berniaga di Chow Kit berkata, perniagaannya lumpuh selepas dipindahkan ke kompleks baharu.
“Dulu ayam hidup boleh laku 300 ekor seminggu, sekarang seekor pun susah nak jual. Raya pun hanya 10 ekor sahaja. Bayangkan, kalau waktu kemuncak pun hanya jual 10 ekor, hari biasa langsung tak jalan.
“Setahun lebih kami terpaksa datang juga sebab kalau tak hadir, lesen dipotong. Hakikatnya, saya sudah lama tidak berniaga kerana memang tiada pembeli.
“Saya hanya hadir ke tapak untuk memastikan lesen tidak dimatikan oleh pihak DBKL, selebihnya masa dihabiskan dengan duduk sahaja, menjahit atau makan di gerai,” katanya.
“Sekarang DBKL minta bayar sewa pula. Kalau barang tak jalan, macam mana nak bayar? Kami hanya bergantung pada meniaga ayam, tak ada bisnes lain,” tambahnya.

Menurut peniaga, Kompleks Pasar Raja Bot sepatutnya siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun namun Fasa 2 sahaja mengambil masa sehingga 11 tahun untuk disiapkan.
Kini, Fasa 3 pula tidak menunjukkan sebarang perkembangan walaupun DBKL sebelum ini menjanjikan ia siap dalam tempoh 10 hingga 12 bulan.

“DBKL asyik minta kami bersabar tapi sampai bila? Sabar kami ada hadnya. Kalau macam ini, rezeki kami akan terus terjejas.
“Kami mohon pihak berwajib turun sendiri, tengok keadaan sebenar dan jangan hanya dengar laporan atas kertas,” kata Yusnaedy.
Masalah di kompleks berkenaan sebenarnya bukan perkara baharu, MalaysiaGazette pada 11 Oktober tahun lalu pernah melaporkan Kompleks Pasar Raja Bot masih sepi dan tiada perubahan ketara sejak ia dibuka.
Tinjauan terbaru MalaysiaGazette hari ini mendapati suasana pasar di dalam kompleks terus suram dengan banyak gerai kosong.
Manakala kawasan luar kompleks berkenaan kekal sesak dengan orang ramai kerana lebih mudah diakses.

Malah ada peniaga yang terpaksa mencari alternatif dengan menjual ikan masin bagi mengelak pembaziran akibat terpaksa membuang ikan segar.
Para peniaga mendesak DBKL segera menyusun semula susun atur gerai, menangguhkan kutipan sewa serta mempercepatkan pelaksanaan Fasa 3.
Jika tidak, mereka bimbang Kompleks Pasar Raja Bot akan kekal sepi dan akhirnya hanya menjadi bangunan kosong tanpa pembeli. – MalaysiaGazette














