University of Cambridge

KUALA LUMPUR – Seramai 19 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Ambilan 2023 yang telah berjaya menempatkan diri di universiti-universiti terkemuka dunia dalam senarai Top 20 QS World University Ranking Global.

Pencapaian gemilang hasil kecemerlangan dalam peperiksaan A-Level ini, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam melahirkan modal insan berwibawa dan berdaya saing di pentas antarabangsa.

Di antara universiti berprestij yang menjadi destinasi mereka termasuk University of Cambridge, Imperial College London, University College London, King’s College London, The London School of Economics and Political Science serta The University of Edinburgh di United Kingdom.

Mereka ialah:
i. Muhammad Umar Nor’azim – Keputusan A-Level: 3A*, University of Cambridge, bidang Sains Psikologi dan Tingkah Laku;
ii.Chng Suzanne – Keputusan A-Level: 4A*, University of Cambridge, bidang Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi;
iii. Rubinthiran a/l Yogarajah – Keputusan A-Level: 3A*, Imperial College London, bidang Kejuruteraan Kimia;
iv. Muhammad Fitri Hatim Zainuddin – Keputusan A-Level: 4A*, King’s College London, bidang Matematik;
v. Danish Hariz bin Ahmad Kamarul – Keputusan A-Level: 3A*, The London School of Economics and Political Science, bidang
Perakaunan dan Kewangan; dan
vi. Imran Arif bin Mokhtar – Keputusan A-Level: 3A*, The University of Edinburgh, bidang Fizik.

JPA berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan daya juang luar biasa para pelajar dan pendidik sepanjang mengikuti pengajian peringkat A-Level.

Lebih mengujakan, pencapaian mereka bukan sahaja membanggakan diri, keluarga dan institusi pendidikan, malah turut membuktikan Malaysia mampu melahirkan generasi berkelas dunia yang seterusnya mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

JPA menegaskan kecemerlangan ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menyantuni rakyat, berteraskan nilai Kecemerlangan, Integriti dan Ihsan dalam melahirkan generasi pewaris negara yang berwibawa.

Para pelajar ini menggalas amanah besar sebagai duta kecil negara, mencerminkan citra rakyat Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global.

“JPA mendoakan agar mereka terus berjaya dalam pengajian, mengharumkan nama negara, serta kembali ke tanah air dan menyumbang tenaga sebagai modal insan berkualiti tinggi yang akan bersama memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia pada masa hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast