KUALA LUMPUR – Semakan kenaikan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi pertimbangan dan kelulusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik insentif dan kebajikan warga kerja termasuk petugas kesihatan di seluruh negara.
“Penambahbaikan seperti ini akan terus diusahakan secara berkala mengikut keadaan semasa. Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk menyempurnakan semakan kenaikan kadar ETAP yang telah dijalankan sejak mutakhir ini.
“Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), cadangan tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri agar pelaksanaannya dapat direalisasikan pada tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain ETAP, warga kerja yang layak di kementerian itu turut menerima pelbagai jenis elaun dan insentif antaranya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Locum, Elaun Pembedahan Elektif serta Bayaran Insentif Pakar Pra Warta (BIPPW).
Senarai elaun lain yang turut diterima termasuk Bayaran Insentif Penempatan Pakar di Sabah, Sarawak dan Labuan, Bayaran Insentif Pedalaman, Elaun Balik Kampung, Elaun Pentadbiran Hospital, Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), COLA dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam. – MalaysiaGazette















