Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa sistem kesihatan awam negara kini berdepan kekurangan tenaga kerja perubatan yang serius dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, daripada keperluan penambahan 50,168 orang petugas kesihatan dari tahun 2017 hingga 2024, hanya 6,225 jawatan berjaya diisi, sekali gus menunjukkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Dominic Lau mengambil contoh pembinaan Hospital Pasir Gudang di Johor yang menelan kos RM830 juta dan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Disebabkan kelemahan perancangan tenaga kerja, doktor dan jururawat terpaksa dipindahkan dari hospital-hospital kerajaan lain di Johor untuk bertugas di hospital baharu itu.

“Dzulkefly sebagai nakhoda utama Kementerian Kesihatan sudah tentu mengetahui bahawa hospital ini akan mula beroperasi pada Ogos tahun ini. Mengapa tidak membuat penempatan petugas kesihatan lebih awal?

“Kementerian Kesihatan sepatutnya sudah mempunyai data berapa ramai doktor, jururawat, ahli farmasi dan petugas lain yang diperlukan untuk sebuah hospital baharu, tetapi mengapa perkara ini masih tidak diurus dengan baik?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan data dari 2017 hingga 2024, jumlah penduduk negara meningkat sebanyak 3.2 juta, lebih 10 hospital baharu dibina, namun bilangan petugas kesihatan awam hanya bertambah 6,225 orang.

Pada masa sama, kadar keseluruhan penempatan tenaga kesihatan menurun kepada 83 peratus, sedangkan sistem kesihatan awam masih kekurangan lebih 50,000 petugas pelbagai bidang.

Kata Dominic lagi, walaupun masalah itu tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat, ia tetap mendedahkan kelemahan perancangan kementerian kerana doktor dan jururawat memerlukan masa yang panjang untuk dilatih sebelum bertugas.

Justeru, bancian tenaga kerja di hospital dan klinik seluruh negara perlu dilakukan segera bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Dominic Lau turut menegaskan, ini adalah kali kedua Dzulkefly memegang jawatan Menteri Kesihatan, namun beliau masih dilihat tidak berdaya menangani pelbagai masalah dalam sistem kesihatan awam.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mempertimbangkan individu lain yang lebih berkemampuan untuk memegang jawatan tersebut.

“Fenomena besar-besaran peletakan jawatan doktor pakar dan jururawat berpengalaman adalah satu amaran serius dalam sektor kesihatan.

“Adakah kerajaan mampu mengisi kekosongan ini? Jika negara sekali lagi berdepan cabaran seperti pandemik Covid-19, adakah sistem kesihatan dan tenaga kerja sedia ada mampu bertindak dan menangani keadaan tersebut? soalnya lagi.

Lantaran itu, Dominic menggesa kerajaan supaya segera mengambil langkah kecemasan dengan merancang sumber tenaga manusia dalam sektor perubatan dengan lebih baik, selain menyediakan sokongan yang diperlukan untuk membantu doktor mencapai matlamat kerjaya mereka.

Kekurangan doktor, jelasnya, berlaku hampir di setiap negeri dan tidak wajar membebankan petugas sedia ada sehingga keletihan melampau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast