GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menegaskan tindakan menangkap lembu yang didapati berkeliaran di kawasan awam dibuat demi menjaga keselamatan orang ramai, kebersihan dan imej bandar raya ini.
Pengarah penguatkuasaannya, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, operasi tangkapan dilaksanakan berikutan aduan awam berhubung lembu yang bergerak bebas termasuk di jalan raya sekali gus mengundang risiko kemalangan dan kacau ganggu kepada penduduk.
“Operasi itu dijalankan di bawah Undang-Undang Kecil Lembu dan Kerbau yang membolehkan tangkapan dibuat tanpa perlu memberi notis kepada pemilik haiwan memandangkan kebiasaannya sukar mengenal pasti pemilik sehingga tangkapan dilakukan.

“Lembu yang ditangkap akan dilelong melalui Lelongan Awam Haiwan di Jabatan Veterinar MBPP,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Terdahulu, seorang penternak, Shahrizal Ahmad, 35, tampil mendakwa dua ekor lembunya dirampas MBPP walaupun berada dalam tambatan selain menyuarakan kebimbangan nasib penternak Melayu di negeri ini.
Sementara itu, MBPP dalam kenyataan di Facebook pada 3 Ogos lalu turut memaklumkan sebanyak dua ekor lembu ditangkap pada dua hari berbeza di kawasan sama di Tanjung Tokong selepas menerima aduan berulang daripada orang awam.
Mengikut kenyataan itu, operasi dijalankan demi keselamatan pengguna jalan raya, pejalan kaki serta menjaga kebersihan dan imej kawasan sekitar.
Selain itu, mana-mana lembu yang ditangkap di kawasan aduan berulang tidak akan dipulangkan kepada pemilik dan akan dilupuskan melalui proses lelongan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette















