KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) membuka bidaan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) 2025, membolehkan pembelian
elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk dibekalkan kepada pengguna Singapura.
ENEGEM merupakan platform khusus yang dibangunkan Petra pada 15 April 2024 bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran. Urusan perdagangan tenaga merentas sempadan menerusi platform ENEGEM ini berpandukan “Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES)”.
Kementerian ini berkata, setakat ini urus niaga perdagangan elektrik hijau dengan kapasiti sehingga 50MW telah dijalankan sejak 13 Disember 2024.
Katanya, bagi menyokong aktiviti urusniaga perdagangan bekalan elektrik merentas sempadan yang progresif, Petra mempelawa pihak yang berminat dan mempunyai lesen penjanaan, peruncitan atau pemborong elektrik di Singapura untuk menyertai bidaan ENEGEM 2025, bagi pembelian elektrik hijau daripada Malaysia untuk dibekalkan kepada pengguna di Singapura.
“Pembida yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman sesawang Single Buyer mulai 8 September 2025. Maklumat lanjut mengenai bidaan ini boleh diperoleh di laman sesawang Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Suruhanjaya Tenaga atau Single Buyer,” katanya dalam kenyataan.
Petra, katanya, yakin pelaksanaan bidaan melalui platform ENEGEM ini akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan, di samping membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang tenaga boleh baharu yang lebih luas melalui perdagangan TBB merentas sempadan antara negara ASEAN, sejajar dengan teras kesejahteraan dan kemapanan Malaysia Madani. – MalaysiaGazette
















