KUALA LUMPUR – “Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat menyahut seruan kerajaan dengan usaha membendung gejala buli dalam kalangan murid sekolah.
Ia selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan ihsan, hormat menghormati dan kesejahteraan sejagat, mereka melaksanakan pelbagai program dan kempen untuk mempromosikan hidup sejahtera tanpa buli.
Kaunselor SMK Seri Keramat, Siti Noor Adilah Abdul Hamid yang menjadi penggerak utama kempen antibuli di sekolah tersebut berkata, kempen bukan sekadar program sampingan tetapi satu usaha serius untuk membina budaya kasih sayang, saling menghormati dan empati dalam kalangan pelajar.
Beliau menegaskan, ramai masih salah anggap tentang maksud buli malah ada juga ia sekadar gurauan sesama rakan padahal ia sebenarnya mampu memusnahkan keyakinan seseorang.

“Buli datang dalam pelbagai bentuk, ada yang berbentuk fizikal seperti menolak, menendang atau memukul. Ada pula secara verbal melalui ejekan berulang, penghinaan dan label yang menjatuhkan maruah.
“Tidak kurang juga buli sosial apabila seseorang diasingkan daripada kumpulan atau dijadikan bahan ketawa dan yang semakin membimbangkan.
“Ada juga buli menular ke alam maya melalui media sosial di mana kata-kata kesat atau penyebaran khabar angin boleh menjadi senjata yang mencederakan hati,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Menurut Siti Noor Adilah, kesan buli tidak boleh dipandang ringan kerana mangsa membawa luka emosi yang panjang, murung, hilang minat belajar malah merasa tidak selamat untuk datang ke sekolah.
Katanya, ada juga kes di mana mangsa terpaksa berpindah sekolah atau mengalami trauma yang menjejaskan masa depan.
Justeru itu, sejak Ogos, pelbagai usaha telah dilaksanakan di SMK Seri Keramat termasuklah kain rentang anti buli dipasang di kawasan strategik sekolah berkenaan untuk menanam mesej kesedaran.

Antaranya, Program Bual Santai bersama PDRM pula memberi ruang kepada pelajar bertanya terus kepada pihak berkuasa tentang isu jenayah yang berkait rapat dengan kehidupan mereka.
Dalam sesi ini, murid didedahkan dengan hak-hak mereka sebagai pelajar serta saluran rasmi untuk mendapatkan bantuan jika berdepan situasi buli.
Selain menyasarkan pelajar, pihak sekolah juga memberi fokus kepada ibu bapa melalui ceramah motivasi oleh Datuk Dr Hassan Ali, peranan serta disiplin anak bermula yang bermula dari rumah.
Yang menjadikan kempen kali ini lebih segar adalah kehadiran ikon hiburan dan sukan seperti Datuk Hattan, Ijam Medicine, serta dua pemain bola sepak dari Selangor FC.

“Kehadiran mereka bukan sahaja menghiburkan murid, tetapi memberi inspirasi kejayaan datang dengan disiplin diri bukan dengan mengejek atau merendahkan orang lain.
“Apabila murid melihat idola mereka menekankan nilai hormat dan kerja keras, mesej anti-buli jadi lebih mudah meresap ke dalam hati mereka,” kata Siti Noor Adilah.
Selain itu, katanya, sokongan tidak berbelah bahagi hadir daripada PIBG melalui kepimpinan Datuk Zainol Abidin Mohamed serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak yang sering turun padang memantau dan menyokong aktiviti sekolah.

“Semua pihak bersatu padu kerana sedar bahawa isu buli tidak boleh diserahkan kepada sekolah sahaja, ia adalah tanggungjawab bersama.
“Kami mahu murid SMK Seri Keramat membesar sebagai insan yang berani menolak keganasan, berani menegakkan kebenaran dan sentiasa menghormati orang lain. Dengan itu barulah mereka mampu menjadi anak yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi menjadi teladan dalam masyarakat,” ujarnya.
SMK Seri Keramat membuktikan membanteras buli bukan sekadar slogan, tetapi perjuangan berterusan demi masa depan generasi muda. – MalaysiaGazette
















