Dr Haim Hilman Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah mempersoalkan tindakan platform media sosial TikTok yang mengeluarkan amaran larangan akaun terhadapnya tanpa alasan jelas.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, amaran tersebut diterima dua hari lalu di akaun TikToknya sedangkan kandungan yang dipersoalkan hanyalah video motivasi lama yang pernah mendapat jutaan tontonan sejak tahun 2022.

“Apabila saya semak video yang dikatakan melanggar community guideline (garis panduan komuniti), apa yang saya dapati hanyalah video motivasi biasa, malah video lama sejak tahun 2022 yang telah mencecah jutaan tontonan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Haim hairan bagaimana sebuah video motivasi yang bersifat positif dan membina semangat boleh secara tiba-tiba dianggap melanggar peraturan platform tersebut.

“Persoalannya, bagaimana sebuah video motivasi yang bersifat positif, membina semangat dan telah lama berada di platform boleh tiba-tiba dianggap melanggar peraturan? Adakah wujud unsur tertentu yang menyebabkan kandungan positif sebegini disalah tafsir?” soal beliau.

Beliau turut kecewa apabila rayuannya terhadap keputusan TikTok itu ditolak tanpa sebarang penjelasan.

Haim menambah, insiden ini menimbulkan persoalan sama ada keputusan yang dibuat oleh platform media sosial tersebut dipengaruhi oleh pihak tertentu.

“Saya berharap agar pihak TikTok tidak terpengaruh atau dikawal oleh pihak tertentu. Jika ya, ia sangat mendukacitakan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast