KUANTAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang sudah menangkap dan memindahkan seekor gajah yang dikesan berkeliaran di kawasan Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, Jerantut semalam.
Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, gajah itu dipercayai berkeliaran di kawasan tersebut selepas keluar daripada kawanannya.
“Gajah itu telah dipindahkan ke habitat sesuai dengannya.
“Kejadian ini memang jarang berlaku, tapi ia suatu yang biasa bagi gajah jantan remaja yang keluar dari kumpulannya,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, Perhilitan akan sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku, namun memerlukan maklumat yang disalurkan masyarakat.
Perhilitan juga menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri untuk menangani permasalahan yang timbul apabila melibatkan hidupan liar seperti mamalia itu.
“Adukan segera kepada Perhilitan jika mengesan atau menemui gajah atau hidupan liar lain seperti yang berlaku di Klinik Kesihatan di Bandar Jerantut ini,” tambahnya.
Semalam, tular beberapa klip video memaparkan kelibat seekor gajah yang dikesan berkeliaran dan menceroboh kawasan Klinik Kesihatan Bandar Jerantut serta merosakkan pagar bangunan itu. – MalaysiaGazette















