KAHERAH – Mesir mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang mencadangkan rakyat Palestin boleh dipindahkan dari tanah air mereka, termasuk melalui lintasan Rafah di sempadan Gaza.
Kementerian Luar menuduh Netanyahu berusaha untuk memanjangkan konflik untuk mengelakkan akauntabiliti terhadap tindakan Israel di Gaza, dan mengulangi penolakan Kaherah terhadap sebarang rancangan untuk mengusir warga Palestin.
Dengan menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam untuk memaksa rakyat Palestin keluar, kementerian itu berkata, terbukti Israel melakukan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang menjurus kepada ‘pembersihan etnik’.
Lantaran itu, Mesir menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tanggungjawab bersama.
Mesir berkata ia tidak akan terlibat dalam “mencairkan perjuangan Palestin atau menjadi pintu masuk negara untuk perpindahan” tersebut yang disifatkan sebagai menyifatkan itu sebagai sempadan prinsip yang tidak akan dikompromi.
Oleh itu, ia menyeru gencatan senjata di Gaza, pengunduran penuh Israel, dan sokongan antarabangsa agar Pihak Berkuasa Palestin kembali ke wilayah itu, termasuk kawalan lintasan sempadan.
Mesir berkata. lintasan Rafah perlu dikendalikan semula di bawah Perjanjian Pergerakan dan Akses 2005, dan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi rakyat Palestin dan menyokong hak mereka untuk kekal di Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmaqdis Timur.
Negara ini juga menegaskan hanya penubuhan negara Palestin di sepanjang sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya dapat menyelesaikan konflik itu.
Netanyahu memberitahu Telegram Abu Ali Express pada hari Khamis bahawa Mesir “memenjarakan” penduduk Gaza yang ingin kelua.
Katanya, Israel akan membenarkan mereka menyeberang di Rafah tetapi Mesir menghalang.
Sejak serangan Hamas pada 2023 di selatan Israel, yang mengorbankan lebih 1,200 orang dan menyebabkan kira-kira 250 tebusan diambil, serangan Israel di Gaza telah membunuh lebih 64,000 rakyat Palestin dan mencederakan 161,000, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. – Agensi
















