KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya menambah baik sistem penebusan bantuan tunai one-off agar lebih mesra rakyat, inklusif dan tidak membebankan penerima, khususnya golongan yang kurang celik teknologi dan tidak mempunyai akses internet stabil.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, walaupun rakyat menyambut baik pemberian bantuan tunai secara sekali beri, kelemahan dalam sistem penebusan berisiko menjejaskan keberkesanan bantuan itu.
“Antara rungutan utama yang diterima HAKS ialah proses penebusan yang lemah dan sering tergendala sehingga menyukarkan rakyat,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperluas saluran penebusan bantuan, bukan sekadar melalui platform digital, sebaliknya turut membenarkan penebusan di bank, pejabat pos, kaunter khas di pejabat daerah atau pusat komuniti.
“Inisiatif ini mampu membantu golongan yang tidak memiliki telefon pintar atau capaian internet yang stabil. Pada masa sama, kerajaan boleh menyalurkan bantuan secara terus ke akaun bank penerima sedia ada, khususnya mereka yang telah berdaftar dalam pangkalan data seperti STR atau pesara kerajaan,” tambah beliau.
Shahir turut mencadangkan agar kaunter bergerak diwujudkan di lokasi tumpuan masyarakat seperti balai raya, masjid dan dewan orang ramai, serta melibatkan kerjasama penghulu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sukarelawan belia.
Katanya, mekanisme pengesahan penerima juga perlu dipermudahkan tanpa menjejaskan keselamatan, seperti penggunaan kad pengenalan dan cap jari di bank atau pejabat pos tanpa keperluan teknikal yang rumit.
Dalam masa sama, komunikasi yang berkesan dilihat penting untuk melancarkan proses penebusan. Jelasnya, maklumat harus disampaikan secara meluas melalui televisyen, radio, akhbar dan pengumuman komuniti termasuk panduan bergambar dalam pelbagai bahasa agar mudah difahami.
“Kerajaan juga perlu menyediakan talian bantuan dan saluran aduan mesra pengguna, selain membentangkan laporan berkala mengenai jumlah penerima yang berjaya menebus bantuan,” ujar beliau.
Shahir menegaskan bahawa sebelum sistem penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dilaksanakan secara menyeluruh, ujian perintis wajar dijalankan terlebih dahulu bagi mengenal pasti kelemahan dan ruang penambahbaikan.
“Gabungan pendekatan digital dan manual adalah kunci bagi memastikan bantuan sampai kepada semua lapisan rakyat tanpa ada pihak yang tercicir,” katanya. – MalaysiaGazette
















