Gambar Hiasan

 

PETALING JAYA – Prestasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menunjukkan peningkatan positif apabila mencatatkan Mean Kilometre Between Failure (MKBF) atau Purata Kilometer Antara Kegagalan sebanyak 0.54 juta kilometer dengan hanya 24 gangguan direkodkan setakat Julai 2025.

Sebagai perbandingan, MKBF bagi keseluruhan tahun 2024 merekodkan 0.33 juta kilometer dengan 71 gangguan, manakala pada tahun 2023, mencatatkan 0.16 juta
kilometer dengan 118 gangguan.

Pengukuran MKBF, yang telah digunapakai oleh Prasarana sejak tahun 2023 merupakan penanda aras utama bagi mengukur prestasi perkhidmatan rel dengan matlamat untuk mengurangkan kekerapan kegagalan atau gangguan teknikal sepanjang jarak perjalanan yang ditetapkan.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, peningkatan prestasi ini didorong oleh hasil usaha keras seluruh warga kerja Prasarana.

“Pencapaian terkini memberangsangkan didorong oleh beberapa inisiatif strategik antaranya pelaksanaan program penyelenggaraan berasaskan keadaan yang mana proses menggantikan komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat.

“Sebagai contoh, penggantian beberapa sub-komponen sistem tren dan sistem isyarat bagi Laluan Kajang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, pendekatan syarikat seperti pelaksanaan beberapa projek naik taraf dan penyelenggaraan khas turut memberi impak positif kepada ketersediaan dan
kebolehpercayaan sistem.

Antaranya, projek penyelenggaraan separa hayat trentren Laluan Ampang.

“Fokus seterusnya, Prasarana akan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan bas dengan mengadaptasi penanda aras MKBF sebagai ukuran
utama,” tambah Amir.

Jelas beliau, Prasarana bertekad untuk terus memperkukuh peranan sebagai penyedia pengangkutan awam utama negara, memastikan perjalanan harian rakyat bukan sahaja lebih selesa dan selamat, tetapi juga lebih boleh dipercayai, sama ada di atas jajaran, mahupun di jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast