Seramai 51 perwakilan keluar sejurus selepas Dr Chong mula menyampaikan ucapan dasar hari ini.

SHAH ALAM – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kedua kecoh apabila apabila 51 perwakilan meninggalkan dewan.

Mereka meninggalkan dewan apabila Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full memulakan ucapan dasarnya pada mesyuarat yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kelapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Tindakan tersebut menyebabkan dewan hampir kosong, difahamkan lebih 150 ahli meninggalkan dewan itu dengan hanya tinggal kira-kira 10 perwakilan.

Suasana AGM sebelum Dr Chong mula memberikan ucapan dasar, bilik itu penuh dengan para perwakilan Bersekutu.

Ketua Bahagian Sayap Bersekutu Negeri Sembilan, Datuk V Saravana Kumar berkata, tindakan meninggalkan dewan adalah kemuncak kepada rasa tidak puas hati perwakilan yang sudah lama terpendam.

“Agenda mesyuarat tidak jelas, usul tidak dibentangkan, laporan tahunan kosong. Perwakilan berhak marah kerana AGM kali ini langsung tidak terurus. Walk out ini mesej paling jelas kepada kepimpinan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Saravana yang menyifatkan jawatan Ketua Bersekutu Nasional merupakan beban kepada parti mendakwa kelemahan itu berpunca daripada kegagalan Fat Full memimpin dengan berkesan.

“Negeri Sembilan sampai hari ini tidak ada Ketua Sayap Bersekutu walaupun saya sudah berkali-kali suarakan perkara ini. Kalau pemimpin hanya duduk diam tanpa sebarang sumbangan, apa gunanya jawatan itu? Parti akan rugi,” ujarnya.

Ketua Bahagian Sayap Bersekutu Negeri Sembilan, Datuk V Saravana Kumar.

Berikutan itu, beliau menggesa pucuk pimpinan memberi peluang kepada Naib Ketua Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan yang disifatkan lebih aktif dan berwibawa untuk mengetuai Sayap Bersekutu di peringkat nasional.

“Kita hormati keputusan pemilihan yang lalu, tetapi kalau pemimpin tidak bergerak, lebih baik beri peluang kepada yang lebih layak.

“Ini adalah cara paling jelas kami menolak kepimpinan yang tidak berfungsi. Hampir semua bangun keluar, hanya tinggal segelintir pemerhati. Itu sudah cukup sebagai mesej,” kata Saravana. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast