Rakaman keterangan suspek dijalankan di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Gambar: Ihsan MCMC

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu yang menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai Fake Base Transceiver Station (Fake BTS).

Sindiket berkenaan berjaya ditumpaskan menerusi operasi bersepadu Op Pancing dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil aduan awam dan risikan pihak berkuasa yang dijalankan baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan berkata, seorang individu ditahan ketika sedang mengendalikan peralatan Fake BTS yang dipasang dalam sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran sebuah pusat membeli-belah utama di ibu negara.

“Pemeriksaan mendapati kelengkapan komunikasi tersebut dalam keadaan aktif dan berfungsi sebagai Fake BTS,” kata kenyataan itu.

Ujian frekuensi yang dijalankan mengesahkan peralatan tersebut digunakan untuk menghantar SMS palsu mengandungi pautan phishing, kandungan penipuan serta mesej berunsur perjudian kepada orang awam di kawasan sekitar.

Susulan tangkapan itu, pihak berkuasa turut menyerbu sebuah premis kediaman dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan dan peralatan komunikasi berkaitan Fake BTS.

“Hasil serbuan tersebut, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pelbagai kelengkapan komunikasi turut dirampas,” jelas MCMC.

Siasatan awal mendapati sindiket tersebut menggunakan modus operandi terbaharu dengan mengubah suai peralatan komunikasi Fake BTS supaya boleh beroperasi secara mudah alih, menjadikannya lebih sukar dikesan pihak berkuasa.

Secara keseluruhan, sebanyak 45 barangan telah disita dengan nilai anggaran RM100,000.

Seorang individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000, yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast