KUALA LUMPUR – Semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telco) diminta menambah kapasiti rangkaian serta menyediakan bekalan kuasa sokongan, termasuk genset dan sistem hibrid solar, khususnya di kawasan berisiko ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, ia bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal stabil sepanjang musim banjir.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama MCMC hari ini mengadakan tinjauan dan pengujian kualiti liputan komunikasi di Kampung Sepagaya, Lahad Datu, Sabah bagi menilai prestasi serta tahap kesiapsiagaan telco di kawasan itu.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
“Melalui ujian bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL menggunakan aplikasi MCMC NEXUS menunjukkan menara komunikasi di kawasan tersebut mampu mencapai kelajuan hingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G, sekali gus memanfaatkan kira-kira 3,800 penduduk setempat,” katanya.
Setakat 31 Julai lalu, liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 95.30 peratus.
Ia merupakan peningkatan ketara berbanding 73.41 peratus, sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Selain memperkukuh kualiti liputan, dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berdekatan iaitu NADI Kampung Sepagaya dan NADI Layung Industrial turut disediakan untuk kegunaan komuniti bagi pelbagai perkhidmatan digital.
Langkah ini selaras dengan hasrat Kerajaan Madani dalam meningkatkan ketercapaian digital, memacu pembangunan sosioekonomi serta memperkukuh agenda pendigitalan negara. – MalaysiaGazette
















