KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menyaksikan kadar transaksi kekal stabil pada 99% semalam.
Menurutnya, jumlah jualan sebanyak RM107.1 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat jam 9.30 malam.
“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang lima hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari keenam,” ujarnya dalam kenyataan.
Sejak 31 Ogos 2025, lebih 8.3 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA bulanan dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM536.9 juta di seluruh negara. – MalaysiaGazette















