Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau amat kecewa dan terasa hati dengan kekecohan yang tercetus ketika ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu semalam.

Menggambarkan insiden tersebut sebagai ‘amat memalukan’, Muhyiddin rasa kecewa hingga sukar digambarkan, lebih-lebih lagi beliau dikenali sebagai ‘Abah’ yang mengasaskan parti itu sejak awal penubuhannya.

“Perasaan saya ketika itu tidak dapat digambarkan. Sebagai Abah, saya amat tersentuh kerana saya sendiri terlibat dalam membina Bersatu daripada kosong sehingga berdiri pada tahap hari ini,” katanya emosi ketika menggulung ucapan dasar di Pusat Konvensyen Idea (IDCC) Shah Alam petang ini.

Muhyiddin menjelaskan, sebaik insiden berlaku, beliau menghantar mesej ringkas kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) menyifatkan keadaan itu sebagai amat memalukan sebelum mengarahkan mesyuarat tergempar malam tadi.

“Bila perkara begitu berlaku ketika saya sedang menyampaikan ucapan penting, saya tidak dapat berkata apa-apa lagi. Tapi saya segera arahkan mesyuarat luar biasa supaya hal ini dibincangkan dan tidak diputar belit,” tegasnya.

Beliau menambah, sebagai pengasas parti yang kini berusia 78 tahun, beliau melihat peristiwa itu sama seperti seorang bapa menegur anak-anaknya demi menjaga nama baik keluarga.

“Abah tidak boleh berdiam diri. Kalau anak-anak buat salah, Abah mesti tegur. Itu tanggungjawab saya untuk menjaga nama baik keluarga Bersatu,” ujarnya.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan beliau yakin semangat ahli dan kepimpinan parti tetap utuh dan insiden itu tidak akan melemahkan perjuangan Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast