Tun Faisal Ismail Aziz

SHAH ALAM – Individu yang terlibat dalam insiden kekecohan dan pergelutan ketika majlis ucapan dasar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi akan diambil tindakan berlandaskan Perlembagaan parti.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, insiden itu dicetuskan golongan minoriti yang dipergunakan oleh musuh Bersatu untuk menidakkan keputusan majoriti yang dipersetujui ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu tahun lalu.

Tegas beliau, kekecohan dan pergelutan itu bukan budaya dalam Bersatu, tetapi hanya dilakukan segelintir kecil pihak yang tidak bertamadun.

“Bersatu ada perlembagaan dan peraturan, kekecohan seperti ini perlu disiasat dan ditangani berdasarkan Perlembagaan dan peraturan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Malam tadi, kekecohan dan situasi tegang tercetus ketika Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasar pada PAT Bersatu 2025 di IDCC Shah, Alam, Selangor.

Kekecohan bermula ketika Muhyiddin dalam ucapannya menyentuh berhubung desas-desus wujud gerakan untuk mengutip tanda tangan bagi menjatuhkan beliau sebagai Presiden.

Ucapannya itu kemudiannya disambut dengan sorakan dan teriakan daripada sekumpulan perwakilan sehingga berlaku situasi di luar kawalan.

Kekecohan itu berlarutan selama beberapa minit memaksa Muhyiddin meneruskan ucapan beliau dalam keadaan para petugas cuba meredakan ketegangan yang berlaku.

Sementara itu, Tun Faisal berkata, majoriti ahli-ahli Bersatu menyatakan kesetiaan bersama kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden.

Jelas beliau, situasi itu boleh dilihat di dalam dewan persidangan malam tadi semasa insiden kekecohan yang berlaku yang mana majoriti perwakilan bangkit menyatakan sokongan kepada Muhyiddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast