BAGAN DATUK – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said diberi tempoh enam bulan, untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kertas cadangan tersebut, hanya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas Azalina mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan di seluruh negara.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Jemaah Menteri mencadangkan supaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara dilibatkan dalam proses tersebut, termasuk sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah elit seperti Maktab Tentera Diraja serta universiti awam dan swasta.
“Penggubalan ini (rang undang-undang itu) penting bagi menyekat perbuatan buli daripada terus berlaku dan menghantui pemikiran ibu bapa serta anak-anak atau pelajar yang menjadi mangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Desa (MODE)@KEMAS KKDW dan Program Bakti MADANI@KPT, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. -BERNAMA
















