KUALA LUMPUR – Terdapat kekurangan besar dalam Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan (JRKIP) yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menangani isu keselamatan murid di sekolah dan asrama.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, ia khususnya berhubung ketiadaan pakar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) dalam senarai ahli JRKIP.
Ujarnya, jawatankuasa itu sepatutnya turut melibatkan pakar OSH sama ada daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH); Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) atau profesional OSH seperti pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO); doktor perubatan terlatih (OHD) serta industrial hygienist.
Jelas beliau, ketiadaan pakar OSH dalam JRKIP itu memberi kesan besar apabila aspek teknikal keselamatan diabaikan sekali gus penubuhan jawatankuasa tersebut dilihat hanya langkah kosmetik semata-mata.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan arahan supaya nazir sekolah melaksanakan audit keselamatan setiap minggu yang disifatkan menimbulkan kekeliruan.
Jelasnya, meskipun nazir sekolah merupakan pegawai berpengalaman, namun kepakaran mereka adalah dalam bidang pendidikan, kurikulum dan pentadbiran, bukannya OSH.
“Tanpa pengetahuan teknikal keselamatan pekerjaan, laporan audit yang dihasilkan berisiko menjadi umum, tidak tepat dan gagal menyentuh isu kritikal.
“Ia seolah-olah arahan rambang yang tidak disokong oleh kemahiran yang sesuai.
“Akibatnya, masalah sebenar keselamatan fizikal sekolah iaitu dari sistem elektrik hingga keselamatan makmal mungkin terus tidak ditangani secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fakhrul Anuar mendakwa pihaknya sudah beberapa kali cuba membangkitkan perkara tersebut kepada KPM termasuk dengan menghantar surat rasmi, namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.
Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau turut mempersoalkan sama ada keengganan KPM untuk mendengar pandangan pakar OSH itu disebabkan ego atau beranggapan isu keselamatan sekolah belum benar-benar serius.
“Jika keadaan ini berterusan, reformasi keselamatan sekolah akan gagal kerana pendekatan yang eksklusif, tangkap muat dan tidak berpaksikan profesionalisme OSH,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, MSOSH menyeru KPM untuk membuka ruang penyertaan kepada pakar OSH dalam jawatankuasa tersebut.
Ini kerana, ujarnya, hanya dengan gabungan kebajikan, pendidikan, undang-undang dan teknikal OSH, keselamatan sekolah boleh dijamin secara menyeluruh, bukan sekadar reaksi selepas tragedi, tetapi sebagai budaya berterusan demi masa depan anak-anak negara ini. – MalaysiaGazette
















