KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Suria KLCC menafikan dakwaan tindakan pihaknya menghalang seorang aktivis kemanusiaan daripada memasuki pusat beli-belah itu baru-baru ini mempunyai kaitan dengan sebarang motif politik.
Sebaliknya insiden itu berlaku kerana pengunjung berkenaan cuba membawa masuk sebatang kayu panjang ke dalam premis walaupun telah diminta untuk tidak melakukan sedemikian.
“Tindakan ini adalah selaras dengan prosedur keselamatan kami yang melarang barangan berpotensi mendatangkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan para pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, langkah keselamatan itu merupakan prosedur piawai yang dikenakan kepada semua pengunjung tanpa mengira latar belakang masing-masing.
“Kami ingin menegaskan bahawa tindakan ini tidak didasari oleh sebarang pendirian politik. Keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan kami,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, pihak pengurusan turut menghargai kerjasama serta pemahaman orang ramai dalam usaha mengekalkan suasana yang selamat dan teratur di pusat beli-belah berkenaan.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan aktivis kemanusiaan dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bersama beberapa aktivis yang membawa bendera Palestin diarahkan keluar oleh pihak pengurusan.
Menerusi perkongsian di Instagram, kumpulan terbabit dipercayai baru selesai menyertai perhimpunan aman solidariti Palestin di sekitar ibu kota sebelum singgah di Suria KLCC.
Mereka turut dilihat melaungkan slogan Free Palestin sambil membawa bendera sebelum dihampiri pengawal keselamatan. – MalaysiaGazette















