KUALA LUMPUR – Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed, 74, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta.
Kesemua pertuduhan itu berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II) oleh pihak Maju Holdings Sdn. Bhd.
Abu Sahid yang dibenarkan duduk di atas kerusi roda di luar kandang tertuduh sepanjang prosiding kerana masalah kesihatan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Maju Holdings merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Maju Expressway (MEX) yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya–KLIA.
Bagi empat pertuduhan pecah amanah, Abu Sahid selaku pengarah syarikat didakwa menyalahgunakan wang milik Maju Holdings berjumlah lebih RM313 juta.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku, Kuala Lumpur antara 2016 hingga 2019.
Jumlah tersebut melibatkan RM91.55 juta (Mei–November 2016), RM171.48 juta (Januari–November 2017), RM49.59 juta (Januari–November 2018) dan RM500,000 pada Oktober 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, Abu Sahid turut berdepan 13 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM139 juta yang dilakukan dalam tempoh antara Mei 2016 hingga Oktober 2019.
Antara transaksi yang dipersoalkan termasuk pemindahan wang berjumlah RM22.1 juta ke akaun seorang individu pada 4 Mei 2016, diikuti pemindahan RM10 juta ke akaun pihak ketiga hanya beberapa hari kemudian, iaitu pada 10 Mei tahun sama.
Beliau juga didakwa memindahkan kira-kira RM42.88 juta ke akaun sebuah syarikat dalam tempoh Januari hingga November 2017, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek pembinaan lebuh raya.
Pada tahun berikutnya, antara Januari hingga Oktober 2018, sejumlah RM34.67 juta dipindahkan ke akaun sebuah syarikat pembinaan, selain pengeluaran tunai melalui beberapa keping cek bernilai keseluruhan RM12.07 juta pada tahun sama.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib, mencadangkan jaminan RM1.5 juta dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta pasport tertuduh disimpan oleh mahkamah.
Cadangan itu dipersetujui pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Mahkamah kemudian membenarkan Abu Sahid diikat jamin sebanyak RM1.5 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Antara barangan yang disita ialah beg tangan berjenama, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai selepas Bahagian Siasatan SPRM menggeledah dua kediaman milik individu itu di ibu negara pada Mei lalu. – MalaysiaGazette
















