KUALA LUMPUR – Pelabur asing melanjutkan aliran jualan bersih mereka kepada sembilan minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM187.6 juta, jauh lebih rendah daripada sebelumnya sebanyak RM1.41 bilion.
Angka yang lebih kecil itu sebahagian besarnya disebabkan oleh minggu dagangan yang pendek, dengan pasaran ditutup pada hari Isnin dan Jumaat kerana cuti umum.
MBSB Research berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada dua daripada tiga hari dagangan minggu lepas.
Satu-satunya hari aliran masuk bersih ialah Rabu (RM173.2m), manakala aliran keluar terbesar berlaku pada hari Selasa (–RM251.5 juta), diikuti Khamis (–RM109.3 juta).
Manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah pembinaan (RM135.3 juta), pengangkutan & logistik (RM41.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM38.9 juta).
Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM417.1m), Telko & media (-RM43.1 juta) dan utiliti (-RM35.9 juta).
Sementara itu, institusi tempatan melanjutkan rentetan pembelian bersih mereka kepada minggu keenam berturut-turut, mengumpul pembelian RM148.6 juta.
Peruncit tempatan juga kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan pembelian bersih RM38.9 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) merosot merentas semua kumpulan pelabur minggu lepas dengan pelabur runcit dan institusi tempatan mencatat penguncupan masing-masing sebanyak –15.7% dan –17.5%, manakala pelabur asing mencatatkan penurunan lebih ketara sebanyak –42.2%. – MalaysiaGazette















