KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menghantar pasukan perubatan mahu pun hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Afghanistan bergantung kepada hasil mesyuarat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat bergantung kepada kesesuaian dan lokasi bencana.
“NADMA ada mesyuarat pagi ini, mereka akan bincang tetapi ATM Malaysia, kita bersedia jika ada apa-apa keputusan dan arahan yang melibatkan kita untuk menghantar pasukan perubatan kita, jadi kita tunggu keputusan daripada NADMA.
“Tengok kepada kesesuaian tempat macam, Bangladesh kita lain, Turki kita lain.
“Jadi kita tengok dulu sama ada kita bawa hospital medan atau kita hantar pasukan perubatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu Mohamed Khaled membuat lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi.
Jumaat lalu, media antarabangsa melaporkan gempa bumi yang melanda wilayah Kunar di timur Afghanistan melibatkan angka korban yang kian meningkat kepada lebih 2,200 orang.
Gempa bumi berkekuatan 6.0 magnitud melanda wilayah timur negara itu lewat malam 31 Ogos lalu diikuti gegaran susulan berkekuatan 5.5 magnitud pada Selasa, menyebabkan kemusnahan besar di wilayah Kunar dan Nangarhar. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Gempa bumi: SMART akan dimobilisasikan ke Afghanistan – Zahid















