KOTA TINGGI – Datuk Seri Azalina Othman Said berharap Sesi penerangan atau roadshow berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli diharap dapat diselesaikan dalam bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, ini membolehkan RUU tersebut dibawa ke dalam persidangan Parlimen pada Oktober ini selepas mendapat persetujuan Kabinet.
“Kita harap September ini kita boleh selesaikan roadshow yang kita buat dan harap boleh mendapat keputusan Kabinet pada hujung September ataupun awal Oktober supaya RUU ini kita boleh bawa ke dalam persidangan Parlimen untuk Oktober, November dan Disember iaitu bagi persidangan yang terakhir ini (tahun ini).
“Saya harap saya boleh dapat bawa RUU ini kurang daripada enam bulan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan 2025 ASEAN Convention On Legal Aid For Children di Desaru Coast Conference Center, di sini malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh enam bulan kepada Azalina untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU Tribunal Anti-Buli.
Katanya, kertas cadangan itu hanya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas Azalina mengadakan sesi libat urus bersama-sama semua pihak berkepentingan di seluruh negara.
Jelasnya jemaah menteri mencadangkan supaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara dilibatkan dalam proses tersebut, termasuk sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah elit seperti Maktab Tentera Diraja serta universiti awam dan swasta.
“Penggubalan ini (RUU itu) penting bagi menyekat perbuatan buli daripada terus berlaku dan menghantui pemikiran ibu bapa serta anak-anak atau pelajar yang menjadi mangsa,” katanya.
Dalam pada itu Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, roadshow yang akan dianjurkan bagi mendengar suara rakyat sama ada adakah tribunal lebih baik kerana ia memakan masa yang lebih pendek untuk pendengaran.
“Pelaksanaan dalam kes buli ni dia ada pelbagai aspek macam dalam aspek tribunal ini lebih luas kuasa dia boleh tengok semua intipati dan ada juga mungkin dalam elemen tribunal itu dia pun boleh tengok kepada aspek ganti rugi seperti membayar denda dan sebagainya.
“Kalau setakat semua nak masuk penjara ‘berhabis beras’ sajalah, tapi kemungkinan kita nak ukur dalam aspek hukuman itu tak semestinya penjara dia mungkin kena buat beberapa, macam mungkin dia kena bayar denda mungkin dia kena pergi kursus.
“Aspek dia lebih luas dan kepentingan tribunal kalau dipersetujui oleh kerajaan dia cepat (proses), kalau tidak nak tunggu kes ke mahkamah dengan kes jenayah yang ada pun makan masa beberapa tahun, ini kes buli beberapa tahun daripada budak itu kat sekolah sampai masuk universiti tak selesai kes ini antara contohnyalah,” katanya.- MalaysiaGazette















