KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan cabaran lebih besar apabila perlu mendapatkan persetujuan parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) selepas dinobatkan sebagai calon Perdana Menteri ke-11 (PM11) oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, meskipun Muhyiddin berjaya melepasi halangan pertama dengan sokongan sebulat suara perwakilan Bersatu, perjalanan politiknya masih belum selesai.
“Melepasi halangan pertama, kini dia berdepan halangan kedua. Apakah Pas akan setuju? Urimal Ramasamy telah bersetuju. Sudah pasti Hindraf, Gerakan dan MIPP juga akan setuju,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Puad berkata demikian mengulas keputusan Bersatu semalam yang menamakan Muhyiddin selaku calon PM11.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dicapai dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berakhir pada Ahad.
Dalam pada itu, Puad turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas pencalonan tersebut walaupun wujud desakan dalaman agar beliau berundur.
“Setinggi tahniah Tan Sri Muhyiddin kerana terpilih calon PM ke 11 oleh parti Bersatu. Di sebalik kekecohan desak ‘Turun Tan Sri’ untuk halang namanya dipilih, dia tetap dinobat oleh perwakilan. Gagallah konspirasi 120 Ketua Bahagian Bersatu,” katanya.
Beliau bagaimanapun membangkitkan persoalan sama ada Muhyiddin mampu mengulangi sejarah Tun Dr Mahathir Mohamad yang dua kali menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Halangan ketiga ialah, bolehkah dia pecah rekod Tun M yang dua kali jadi PM. Signal dari dalam yang tidak yakin cukup kuat iaitu jeritan ‘Turun Tan Sri dan tanda tangan 120 Ketua Bahagian’. Beggage ‘Dana Wibawa’ juga satu halangan. Umum Poster Boy bukan lagi taktikal yang relevan,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor menegur Bersatu supaya tidak terlalu ‘ghairah bersendirian’ membuat keputusan politik penting atas nama PN termasuk berkaitan calon Perdana Menteri.
Sanusi berkata, sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.
Muhyiddin pernah menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri kelapan bermula 1 Mac 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette
















