KUALA LUMPUR – Sidang media pelancaran lagu duet Amira dan Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir bertukar menjadi kejutan apabila pelakon, Fattah Amin hadir muncul di pentas, sekali gus mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada 14 September ini.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, yang hadir dari belakang pentas Haris untuk menamatkan spekulasi percintaannya dengan Amira, sejak beberapa bulan lalu.
Acara penuh emosi itu turut disaksikan bapa Amira, Othman Abdul Kadir, 62, dan ibu, Nora Haji Arshad, 58, yang setia duduk di barisan penonton.
Sebelum ini, media sosial kecoh apabila Amira mencuri perhatian netizen menerusi video terbaharunya yang mengayakan busana pengantin yang turut memaparkan penyangkut baju atau ‘hanger’ tertera abjad A dan F.
Video yang tertera abjad A dan F pada penyangkut baju itu dimuat naik oleh pengasas jenama HijabistaHub, Wanie Elena sekaligus menguatkan lagi desas desus bahawa Amira bakal berkahwin tidak lama lagi.
Sebelum ini, wanita berusia 31 tahun itu sering dikaitkan menjalinkan hubungan dengan duda terhangat itu biarpun sering menyatakan mereka sekadar teman sekerja selain hubungan masing-masing dengan keluarga kedua-dua belah pihak makin akrab.
Malah turut tersebar khabar angin bahawa Amira dan Fattah didakwa bakal melangsungkan perkahwinan pada Oktober ini, namun ada peminat meneka mereka memilih hari jadi aktor itu pada 14 September sebagai tarikh diijabkabul.
Fattah mendirikan rumah tangga bersama aktres Fazura pada 27 November 2017 namun berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia empat tahun. – MalaysiaGazette
















