KUALA LUMPUR – Syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diminta menyenaraikan bidang-bidang kemahiran yang diperlukan mengikut guna tenaga atau pekerja.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia bagi membolehkan keperluan guna tenaga itu disesuaikan dengan kursus-kursus serta kurikulum yang akan dilaksanakan oleh Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kursus-kursus itu pula mesti dirundingkan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta mendapat pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Selain itu, tambah beliau, Sekretariat Majlis TVET juga akan meneruskan sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam memastikan TVET dapat melahirkan pekerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri serta memperoleh gaji yang tinggi.
“Dalam masa sama, kita mahu supaya pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Malaysia tidak perlu membawa pekerja-pekerja dari negara asal atau dari negara-negara lain untuk bekerja di syarikat mereka.
“Mesyuarat ini akan diteruskan untuk melihat sama ada keputusan berdasarkan indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditentukan ini dapat dilaksanakan pada Januari depan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat anjuran Sekretariat Majlis TVET Negara bersama GLC dan GLIC di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, ketika ini, terdapat seramai 436,000 pelajar yang mengikut TVET ketika ini berbanding seramai 407,000 pelajar tahun lalu.
Katanya, jumlah pelajar itu tidak termasuk pengambilan yang sedang berjalan ketika ini yang mana pihaknya menerima sebanyak 229,000 permohonan baharu secara online dan 76,000 permohonan secara individu untuk menyertai TVET. – MalaysiaGazette
















