Keindahan Cameron Highlands diharap menarik pelancong dari India menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang akan menganjurkan Jelajah Promosi Pelancongan Pahang ke India 2025 bermula 24 September ini.

Tourism Pahang dalam kenyataannya berkata, ia merupakan inisiatif memperkukuh kerjasama strategik antara industri pelancongan Pahang dan India serta membuka peluang bagi pakej percutian yang lebih menarik dan tersusun.

“Inisiatif ini bakal berlangsung di dua bandar utama India iaitu New Delhi pada 24 September di Hotel The Royal Plaza dan Chennai pada 26 September di The Park Chennai.

“Program ini memberi tumpuan kepada Jaringan Business to Business (B2B) melibatkan ejen -ejen pelancongan, pengusaha – pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan serta rakan media dari India,” katanya.

Tambahnya, pelbagai produk pelancongan ikonik negeri akan diketengahkan antaranya Bukit Fraser, Genting Highlands dan Cameron Highlands dengan tarikan percutian tanah tinggi selain pantai eksotik seperti Cherating dan Pulau Tioman.

Keunikan Taman Negara juga akan diketengahkan selain aktiviti ekopelancongan termasuk Lipis Geopark (Gua Batu Kapur yang menarik di Merapoh), Konservasi Penyu serta pengalaman rail tourism yang menghubungkan kawasan-kawasan indah di negeri ini.

“Selain pelancongan santai, jelajah ini turut menekankan potensi Pahang sebagai destinasi dalam sektor MICE (Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions), destinasi perkahwinan dan bulan madu pilihan, serta pelancongan khusus mengikut minat (niche tourism),” jelasnya lagi.

Dengan langkah ini, Tourism Pahang menyasarkan fokus menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong India sejajar Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai The Heart of Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast