SEGAMAT – Segamat dan Batu Pahat wajar dimasukkan dalam peta bencana atau hazard seismik yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, tujuannya bagi membolehkan struktur bangunan di daerah berkenaan direka bentuk dengan ciri ketahanan lebih kukuh.
Jelas beliau, sejak September 2017, semua bangunan kerajaan dan jambatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 1 hingga 5 telah mengambilkira faktor seismik dalam reka bentuk berpandukan peta bencana yang diguna pakai ketika ini.
“Namun berdasarkan semakan terkini, Segamat tidak termasuk dalam peta hazard tersebut. Batu Pahat juga antara kawasan yang wajar diberikan perhatian kerana turut terkesan dengan gegaran.
“Oleh itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesyorkan supaya MET mengemas kini hazard map agar kedua-dua daerah ini dimasukkan dalam senarai. Ini penting kerana apabila kawasan berada dalam peta bencana, reka bentuk bangunan di situ mesti mematuhi piawaian MSEN 1998 National Annex termasuk penggunaan konkrit gred tinggi dan perincian keluli lebih kukuh,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKR Segamat di sini hari ini.
Katanya, JKR sentiasa komited bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk hospital, kolej komuniti serta pihak berkuasa tempatan dalam memastikan keselamatan awam ketika berlaku bencana alam seperti banjir mahupun gegaran.
Menurutnya, Johor pernah mengalami kejadian gegaran pada tahun 1922 dan insiden terkini di Segamat membuktikan perlunya peta hazard seismik dikaji semula agar lebih tepat serta menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar solat hajat diadakan di masjid dan surau di Johor sebagai tanda munajat keselamatan rakyat.
“Kerja-kerja pemulihan bangunan kerajaan yang terjejas akibat gegaran itu akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan diterima daripada kementerian atau jabatan berkaitan sebelum ditawarkan melalui proses tender,” katanya.- MalaysiaGazette















