Yahaya (tengah) pada sidang media di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang akan melupuskan barang kes narkotik sebanyak 2,656 item bagi tempoh di antara tahun 2011 sehingga tahun 2025.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelupusan tersebut membabitkan 15 jenis dadah  jenis heroin seberat 3358.774 gram antara nilai pelupusan terbesar.

Jumlah anggaran keseluruhan nilai pasaran dadah yang akan dilupuskan ini adalah bernilai RM519,158.78.

“Pelupusan ini akan dilaksanakan pada esok, 9 September 2025 jam lebih kurang 12 tengah hari oleh kontraktor bertauliah dan professional iaitu Syarikat J & T Berjaya Alam Murni Sdn. Bhd di Bukit Tagar, Bestari Jaya, Selangor.

“Dadah pelbagai jenis ini dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding yang telah selesai dan rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes telah tamat,” katanya ketika sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2025, JSJN Pahang telah melaksanakan 9365 tangkapan dengan 8252 kes.

Sejumlah 144 operasi telah dilaksanakan dalam tempoh tersebut bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri Pahang.

“Harapan saya semoga kita dapat sama-sama menggembleng tenaga dan kepakaran dalam menangani masalah dadah ke arah Malaysia yang selamat dan bebas dadah agar anak-anak kita dapat membesar serta menjadi generasi yang berdaya saing dan berjaya pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast