Oleh: Dr Fitri Fareez Ramli
BULI merupakan satu bentuk keganasan yang melibatkan penderaan fizikal, mental dan sosial. Tindakan itu boleh berlaku di mana sahaja, termasuk di rumah, sekolah dan media sosial. Dalam jangka panjang, perubahan psikologi yang terjadi boleh menyebabkan gangguan kesihatan mental. Gangguan tersebut menyebabkan impak negatif yang berpanjangan dalam pelbagai aspek kehidupan mangsa buli seperti pelajaran, pekerjaan dan sosial.
Buli dalam kalangan pelajar merupakan salah satu faktor risiko kemurungan dan gangguan kegelisahan. Dalam satu artikel yang menghimpunkan kajian-kajian yang dijalankan di Asia dan Eropah, mangsa buli mempunyai risiko kemurungan hampir tiga kali ganda buli berbanding orang-orang yang tidak dibuli.
Perasaan rendah diri merupakan salah satu faktor perantara yang boleh menyumbang kepada pembentukan gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan kegelisahan dalam kalangan mangsa buli. Perasaan-perasaan negatif seperti malu, perasaan bersalah, ketakutan dan kekecewaan yang muncul merupakan faktor-faktor penyumbang kepada pembentukan rasa rendah diri.
Malangnya, rasa rendah diri yang terbentuk meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mencari komen negatif daripada orang lain bagi menyokong pandangan peribadi yang bersifat negatif terhadap diri sendiri. Rasa rendah diri juga menghasilkan perasaan negatif secara terus menerus terhadap diri sendiri. Akibatnya, perasaan tidak diterima dan tidak mendapat sokongan daripada orang sekeliling boleh terbentuk dalam kalangan mangsa buli. Jika tidak ditangani, satu kitaran pemikiran negatif yang memerangkap diri yang memerangkap diri dapat terbentuk dan menyebabkan kemurungan atau gangguan kegelisahan dalam kalangan mangsa buli.
Cara otak mangsa buli memproses emosi
Cara otak memproses isyarat-isyarat sosial yang berbeza antara mangsa buli dan individu-individu lain. Mangsa buli dilaporkan mempunyai kepekaan yang lebih tinggi terhadap isyarat sosial bersifat negatif seperti situasi yang melibatkan orang menangis atau mengalami kesakitan berbanding pembuli.
Selain kepekaan, mangsa buli juga lebih cenderung memberikan perhatian terhadap rangsangan sosial bersifat negatif. Tahap perhatian yang lebih tinggi dapat menyebabkan mereka sentiasa berada dalam keadaan berwaspada. Ini boleh menyebabkan stres yang berterusan yang akhirnya boleh menimbulkan pelbagai gejala kegelisahan dan kemurungan seperti perasaan gelisah, berdebar-debar, pernafasan cepat, berpeluh dan menggeletar.
Selain isyarat negatif, mangsa buli mempunyai kecenderungan untuk mentafsir isyarat-isyarat wajah yang bersifat neutral sebagai sesuatu ransangan yang negatif. Pemprosesan emosi yang pincang kepada negatif ini juga merupakan satu keadaan yang sering ditemui pada pesakit kemurungan.
Mentalisation adalah keupayaan untuk memahami keadaan mental diri sendiri dan orang lain supaya dapat memahami niat dan perasaan diri dan orang sekeliling. Perubahan pada keupayaan tersebut juga terjadi pada mangsa buli. Mangsa buli dilaporkan kurang berupaya untuk memahami emosi marah dan gembira sebagai satu keadaan mental.
Sebaliknya, mangsa buli sering melihat sesuatu keadaan sebagai tindakan fizikal atau tingkah laku. Mangsa buli juga dilaporkan lebih sensitif terhadap kedua-dua emosi positif (gembira) dan negatif (marah) berbanding orang yang tidak dibuli. Lebih menarik lagi, mangsa buli menggunakan lebih banyak perkataan gembira apabila diminta untuk berkongsi tentang
pengalaman hidup yang seronok. Keadaan ini dapat terjadi kerana mangsa buli mahu menyembunyikan perasaan negatif daripada orang lain dengan hanya berkongsi tentang perkara-perkara positif.
Perubahan cara otak memproses isyarat-isyarat sosial merupakan salah satu kesan buli terhadap mangsa yang mengalami trauma buli. Perubahan tersebut dapat menyebabkan gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan kegelisahan. Mangsa buli perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya kesan negatif jangka panjang dapat ditangani pada peringkat awal.
Penulis adalah Pensyarah Perubatan, Penyelaras Penyelidikan & Penerbitan, Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.















