Muhammad Uwais Al-Qarni Muhamad Ismail

MERSING – Seorang graduan Kolej Komuniti Bandar Penawar,  Muhammad Uwais Al-Qarni Muhamad Ismail, 21, membuktikan kekurangan fizikal akibat cerebral palsy bukanlah halangan untuk mengejar cita-cita dalam bidang seni bina.

Sebaliknya, kekurangan itu dijadikan cabaran untuk kekal cekal dalam menimba ilmu.

“Ibu dan ayah selalu mengingatkan saya bahawa kekurangan bukan penghalang, sebaliknya cabaran untuk terus melangkah,” katanya yang turut menerima dorongan berterusan daripada rakan-rakan serta pensyarah.

Beliau bakal melanjutkan pengajian ke Pra Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.

Sementara itu, pasangan kembar Syahirah Afifah dan Syahirah Afiqah Rohaizat pula membuktikan kesungguhan mampu mengubah ‘zero’ menjadi ‘hero’.

Bermula tanpa sebarang asas dalam bidang teknologi maklumat, pasangan kembar ini dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Sijil Teknologi Maklumat.

Mereka akui perjalanan sebagai seorang pelajar bukan mudah kerana perlu berusaha lebih gigih dengan memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk mengulang kaji Pelajaran.

Anak keempat dan kelima daripada sembilan beradik berusia 21 tahun itu turut menjadikan YouTube dan Google sebagai rujukan tambahan, selain mendapatkan bimbingan pensyarah kelas.

“Perjuangan ini memang tidak mudah kerana kami sangat ‘struggle’ untuk memahami sesuatu topik.

Namun, cabaran itu kami jadikan sebagai pembakar semangat, ditambah pula dengan sokongan para pensyarah yang sentiasa memberi dorongan.

“Pada masa sama, kami turut mendapatkan tunjuk ajar senior serta memanfaatkan aplikasi ChatGPT bagi membantu memahami topik yang sukar,” kata mereka ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2025 yang berlangsung di Politeknik Mersing.

Bagi pasangan kembar Nur Alia Muyassarah dan Nur Alia Najiah Mohd Zafizal, 21 graduan Kolej Komuniti Segamat 2, kejayaan diraih bersama menjadikan pencapaian mereka lebih bermakna.

“Kami lebih bersemangat kerana minat dalam bidang Teknologi Maklumat dan sentiasa berazam untuk berjaya bersama. Jadi, kami fokus sepenuhnya ketika dalam kelas, catat segala penerangan pensyarah dan paling penting jangan sesekali tinggalkan solat,” kata mereka yang turut dianugerahkan Anugerah Pengarah.

Nur Alia Muyassarah dan Nur Alia Najiah yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan merancang untuk meneruskan pengajian ke peringkat Diploma di Politeknik Mersing.

Pada majlis berkenaan, seramai 615 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast