KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Presiden Filipina, Ferdinan Marcos Jr., menerusi perbualan telefon, hari ini.
Katanya, perbualan itu menyentuh isu keselamatan serantau, pembangunan ekonomi, dan keperluan memperkukuh perpaduan serta kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.
“Kami turut berbincang terkait perkembangan konflik Thailand-Kemboja dan usaha-usaha bersama yang perlu dilakukan sebagai komitmen berterusan terhadap keamanan dan kestabilan serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Anwar, perbincangan itu juga meliputi usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Filipina selain mengeratkan kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN. -MalaysiaGazette
















