Tangkap layar video tular kecurian beg yang dilaporkan berlaku di Masjid Jamek As-Sharif Felda Pasir Raja pada Sabtu.

KOTA TINGGI – Polis membuka kertas siasatan berhubung kes curi yang berlaku di Masjid Jamek As-Sharif Felda Pasir Raja, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.19 malam.

“Pihak polis juga terkesan dengan satu hantaran dalam aplikasi TikTok berkenaan video tular kecurian beg di masjid tersebut yang dipercayai berlaku pukul 8 malam.

“Pada masa sama polis menerima laporan daripada seorang perempuan pukul 8.19 malam berhubung kejadian kecurian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Menurutnya, bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.

Sehubungan itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Wan Mohd Kamal Wan Abas menerusi talian 013-2624774.

Orang ramai juga boleh datang ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi 07-8831222,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast