MELAKA – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Melaka menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian yang turut didalangi warga China dan tujuh pelancong Indonesia dalam tiga serbuan menerusi Op Merpati di sini minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan pada 2 dan 3 September lalu, seramai 19 individu berusia 21 hingga 60 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar negeri ini yang dipercayai dijadikan pusat operasi penipuan membabitkan mangsa dari luar negara.
Menurutnya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.30 tengah hari 2 September lalu, sepasukan polis menyerbu sebuah apartmen di Jalan Tun Perak dan berjaya menahan tujuh lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 41 tahun.

“Kesemua suspek memasuki Malaysia secara sah dengan pas pelancong dan sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menyasarkan pelanggan Indonesia untuk mengiklankan telefon bimbit, motosikal serta kereta pada harga murah melalui aplikasi Facebook.
“Mangsa kemudiannya dihubungi melalui Telegram dan suspek menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan sebelum mangsa diarahkan membuat bayaran pendahuluan ke akaun bank Central Asia (BCA) di Indonesia dan ShopeePay,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di Bukit Beruang di sini hari ini.
Bagaimanapun, Dzulkhairi berkata, selepas pembayaran dilakukan, mangsa tidak menerima barangan dijanjikan dan terus disekat komunikasi.

“Hasil siasatan awal mendapati, semua suspek menerima gaji bulanan antara RM1,000 hingga RM2,000 daripada ketua sindiket dan polis turut merampas tujuh komputer riba, tiga buah kereta serta lapan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya.
Manakala dalam operasi kedua keesokan harinya, polis menyerbu sebuah kediaman mewah di Ayer Keroh dan berjaya menahan lapan individu iaitu seorang lelaki tempatan, dua wanita warga Filipina dan lima lelaki warga China berusia antara 30 dan 60 tahun.
“Hasil soal siasat membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah di Banda Hilir dan berjaya mehahan empat lagi lelaki warga China berusia 24 hingga 32 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket ini turut beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan modus operandi mengiklankan perkhidmatan seks tidak wujud kepada warga China melalui aplikasi Telegram,” tambahnya.
“Kesemua suspek menerima bayaran bulanan antara USD1,500 hingga USD2,300 selain polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang, lapan komputer, 21 telefon bimbit serta tiga buah kereta mewah dengan nilai keseluruhan mencecah RM550,000.
“Kesemua 19 suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana berkomplot jenayah serta Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – MalaysiaGazette
















