KUALA LUMPUR – SME Corp. Malaysia (SME Corp) menawarkan RM35 juta untuk Program Pembiayaan Alternatif BAP 2025 yang menawarkan pembiayaan berlandaskan syariah sehingga RM400,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang layak.
Skim ini ditawarkan pada kadar keuntungan kompetitif 3.5% setahun, dengan kemungkinan sehingga 40% daripada pembiayaan tersebut ditukar kepada geran.
microLEAP, sebuah platform Pembiayaan P2P (Peer-to-Peer) patuh Syariah yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), telah dilantik sebagai pengantara pembiayaan di bawah program ini.
Menurutnya, dengan tambahan peruntukan daripada SME Corp jumlah dana yang diperuntukkan di bawah kerjasama dengan microLEAP sejak 2021 kini mencecah RM70 juta, mencerminkan kerjasama yang semakin matang berasaskan matlamat bersama: memperkasa pertumbuhan PKS, memperkukuh keterangkuman kewangan serta menyediakan pilihan alternatif pembiayaan, khususnya bagi perniagaan yang kurang mendapat akses daripada pemberi pinjaman tradisional.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy, program ini mencerminkan komitmen SME Corp untuk menilai semula sokongan kepada PKS, bukan sekadar melalui pembiayaan, tetapi dengan mengintegrasikan insentif yang mengiktiraf disiplin kewangan dan pertumbuhan perniagaan.
“Dengan membolehkan penukaran sehingga 40% kepada geran, kami bukan sahaja mengurangkan beban bayaran balik, malah melabur secara langsung dalam masa depan PKS berpotensi tinggi di Malaysia yang bersedia untuk berkembang, sejajar dengan sasaran kami untuk meningkatkan bilangan perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6% kini kepada 5% menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, program ini terhasil daripada mendengar suara pemilik perniagaan kecil, cabaran pasaran, serta hala tuju dasar.
“Kami sentiasa percaya PKS tidak sepatutnya perlu mengemukakan tiga tahun akaun beraudit atau cagaran untuk mendapatkan pembiayaan. Jika mereka menjana hasil, berkembang, dan mampu membayar balik, kami akan hadir menyokong mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, program ini menawarkan bantuan untuk modal kerja dan penambahbaikan perniagaan, termasuk pembelian mesin dan peralatan, penerapan ESG, pensijilan produk, pengiklanan dan promosi, serta penerapan ICT.
Hanya PKS dengan rekod pembayaran balik yang baik layak memohon penukaran geran sehingga 40% daripada pembiayaan mereka, tertakluk kepada kelulusan SME Corp.
PKS di Malaysia mewakili lebih 96% daripada keseluruhan perniagaan, namun ramai yang masih kurang mendapat layanan daripada sistem kewangan tradisional.
SME Corp berkata, program ini dapat merapatkan jurang tersebut, bukan sekadar dengan modal, tetapi juga dengan keyakinan. – MalaysiaGazette
















