Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong menilai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin salah membaca situasi politik semasa dengan beranggapan beliau masih mempunyai sokongan.

Sedangkan menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Muhyiddin sepatutnya menyedari kedudukannya sama ada dalam Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) semakin tidak popular ketika ini.

Namun, dakwa beliau, tanpa mempedulikan realiti itu, Muhyiddin seolah-olah mahu kekal sebagai pemimpin tertinggi Bersatu dan PN dengan apa cara sekali pun.

Jelasnya, kemerosotan sokongan politik terhadap Muhyiddin  dapat disaksikan menerusi insiden kekecohan yang berlaku sewaktu Persidangan Tahunan Agung (PAT) Bersatu 2025 kelmarin yang turut memperlihatkan parti tersebut sedang berpecah.

“Walaupun Muhyiddin cuba sedaya-upaya menampilkan imej wira untuk Bersatu, kata-kata dan ucapannya hanya mencerminkan matlamat peribadinya yang satu – untuk kekal sebagai Presiden Bersatu selama-lamanya – bagi membolehkannya kembali menjadi Perdana Menteri.

“Dan di sinilah timbulnya masalah besar kerana Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin), Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan lebih penting lagi Pas, sedar bahawa Muhyiddin lemah daripada segi karisma, kekuatan dan masa.

“Semua ini menjadi ancaman kepada jangka hayat Bersatu serta faktor mampu-menang PN dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Tambah Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan wujudnya perpecahan dalam Bersatu dan Pas yang masih ‘terperangkap’ dalam doktrin politik 1980-an, rakyat mendapati sukar untuk memilih pembangkang yang berpecah-belah.

Walaupun PN berterusan membakar sentimen isu-isu Melayu, tidak semua orang Melayu selesa dengan permainan politik sedemikian, katanya.

Pada masa sama para pengundi Sabah dan Sarawak terus menjauhkan diri daripada PN yang dilihat sebagai jaguh hanya untuk orang Melayu.

“Kekecohan pada persidangan Bersatu itu merupakan petanda kepada krisis yang lebih besar dalam parti tersebut dan Bersatu yang berpecah belah akan menjejaskan prestasi PN, tak kira popular mana sekali pun Pas dalam kalangan sesetengah pengundi Melayu,” katanya.

Namun, tambah beliau, walaupun PN dilanda krisis, ia tidak bermakna Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersama rakan-rakan gabungan di Sabah dan Sarawak boleh `goyang kaki’.

Ujarnya, banyak usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim namun ia belum mencukupi kerana banyak lagi yang perlu dilakukan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast