PERMATANG PAUH – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini muncul sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja profesional, sekali gus menepis tanggapan bahawa bidang itu hanya pilihan kedua.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah berkata, keberkesanan TVET terserlah apabila kadar kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) mencatatkan 98.8 peratus tahun lalu.
Katanya, pencapaian itu membuktikan keyakinan industri terhadap kualiti pendidikan berteraskan pendekatan ‘hands-on’ yang diamalkan di institusi berkenaan.
“Graduan PolyCC secara keseluruhan tidak berdepan masalah mendapatkan pekerjaan kerana kurikulum sentiasa disemak semula selain wujud libat urus bersama industri.
“Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP) turut diwujudkan di peringkat nasional dan setiap politeknik bagi memastikan program pendidikan benar-benar selari dengan keperluan semasa pasaran kerja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai (PSP) 2025, di sini, hari ini.
Hadir sama, pengarah PSP, Mohd Ruzi Hamzah.
Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Pengarah kepada dua graduan cemerlang iaitu Muhammad Razin Abdul Wahab (Diploma Akauntansi) dan Dhia Awatif Mohd. Nadzli (Diploma Pengurusan Logistik).
Sebanyak 1,093 graduan turut menerima diploma dan sijil masing-masing dalam majlis konvokesyen itu.
Shamsuri berkata, permintaan masyarakat terhadap TVET semakin meningkat apabila jumlah kemasukan pelajar ke politeknik dan kolej komuniti kini melebihi kapasiti yang ditetapkan.
“Graduan TVET bukan sahaja berpeluang bekerja, malah mampu menceburi bidang keusahawanan serta menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Tiga laluan ini menjadikan PolyCC sebagai penyumbang terbesar dengan lebih 40 peratus pelajar selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih jurusan TVET,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, JPPKK turut memberi tumpuan terhadap bidang baharu seperti tenaga, elektrikal dan elektronik bagi menyokong permintaan industri berteknologi tinggi termasuk semikonduktor.
“Dua politeknik iaitu Politeknik Balik Pulau dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah diminta menyemak semula kursus agar memenuhi keperluan industri tersebut.
“Kita juga melaksanakan program intervensi latihan selama sebulan dan selepas tamat, pelajar dijanjikan peluang pekerjaan dengan gaji permulaan lebih tinggi,” jelasnya. – MalaysiaGazette















