Zainal Abidin melakukan sujud syukur sebelum menerima sijil kelahiran untuk lapan anaknya dalam Program Menyemai Kasih Rakyat Mekar Madani, Rakyat Disantuni di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa kepada 10 anak menangis teresak-esak dan sujud syukur atas pentas selepas lapan anaknya menerima sijil kelahiran secara rasmi hari ini.

Lapan beradik berusia antara dua hingga 14 tahun itu memperoleh sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mereka tidak pernah didaftarkan kelahiran sejak dilahirkan.

Penyerahan sijil itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Raja Azlal Raja Azman kepada bapa mereka Zainal Abidin Miskan, 51 dan isterinya, Jannatul Naimah Rohani, 36.

Zainal yang bekerja kampung berharap selepas semuanya anakya memiliki sijil kelahiran, akan dapat ke sekolah dan membantu mengubah nasib keluarga.

“Hari ini, anak-anak dapat sijil kelahiran, saya dan bersyukur sangat, hilang satu beban kami. Anak sulung berusia 17 dan 15 tahun sudah pun memiliki sijil kelahiran.

“Terima kasih banyak pihak yang bantu saya sekeluarga termasuk ketua kampung, pelbagai agensi kerajaan dan JPN.

“Kita ini sudahlah susah, biarlah anak-anak pergi sekolah, bantu ubah keluarga dengan ilmu. Sebelum ini tidak dapat mendapat sijil kelahiran kerana pelbagai kekangan termasuk kerap berpindah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Menyemai Kasih Rakyat Mekar Madani, Rakyat Disantuni di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Johor Bahru di sini hari ini.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Program Mekar Didik yang dilancarkan pada 17 November 2024.

Itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan JPN bagi membantu pelajar tanpa dokumen seperti sijil kelahiran, kad pengenalan (MyKad) dan sijil kewarganegaraan.

Sementara itu, Raja Azlal berkata, program Mekar itu telah dimulakan sejak 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Kita sedar masih ada rakyat yang belum memiliki dokumen pengenalan diri khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman, orang sakit, orang asli, orang kurang upaya (OKU), jadi JPN turun padang masuk kampung redah hutan belukar untuk pastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan.

“Sekiranya tiada kad pengenalan sukar bagi mereka melakukan urusan harian selain mendapatkan manfaat sebagai warga negara,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast