BUTTERWORTH – Seorang bekas ejen perumahan didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan Skim Perumahan My Home di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh A. Thirumurthi, 44, membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa menipu G. Muralidaran, 32, untuk mempercayai bahawa dia adalah ejen perumahan bagi penjualan Projek Perumahan Skim My Home, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bernilai RM198,000.
Ia menyebabkan lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM7,393.60 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 September hingga 31 Oktober 2022 di sebuah cawangan bank di Bertam, Kepala Batas.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Muhammad Syahmi Mohd Sanusi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Noor Azura memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan itu serius dan semakin banyak berlaku sejak kebelakangan ini.
“Jika mahkamah memutuskan untuk mengenakan denda, pihak pendakwaan memohon jumlahnya mencerminkan kesemua pertuduhan. Kepentingan awam juga perlu diambil kira,” katanya.
Dalam rayuan, Thirumurthi memaklumkan mahkamah bahawa dia kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan serta menanggung lima orang termasuk isteri, tiga anak dan ibunya.
“Saya juga menghidap darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM8,000 bagi pertuduhan pertama (gagal bayar, penjara enam bulan), RM3,000 bagi pertuduhan kedua (gagal bayar, penjara tiga bulan), RM5,000 masing-masing bagi pertuduhan ketiga dan keempat (gagal bayar, penjara empat bulan) serta RM2,000 bagi pertuduhan kelima (gagal bayar, penjara dua bulan).
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang masih bekerja sebagai ejen perumahan pada 2022 menawarkan khidmat mendaftarkan rakan dan kenalan untuk mendapatkan unit rumah di bawah skim berkenaan dengan bayaran perkhidmatan sehingga RM1,500.
Pada September tahun sama, dia turut membantu isteri Muralidaran hingga menyebabkan pasangan itu menyerahkan sejumlah RM7,393.60 sebagai bayaran deposit unit rumah berkenaan. – MalaysiaGazette
















