Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menggesa parti-parti di bawah Barisan Nasional (BN) untuk duduk berbincang dan sekali gus membina kekuatan dalaman serta mengurangkan kelemahan.

Beliau turut menasihatkan semua pemimpin tanpa mengira parti untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh merenggangkan keakraban di dalam BN, sifat saling hormat-menghormati serta persefahaman yang telah dibina sejak dulu lagi.

Katanya, beliau yakin Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kebijaksanaan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang menyelubungi gabungan parti tersebut.

“Realitinya kita saling memerlukan antara satu sama lain.

“Pada saya adalah salah dan tidak tepat kalau hanya mengukur sumbangan atau kekuatan mana mana parti dalam BN termasuk MCA dan MIC berasakan jumlah kerusi yang mereka ada atau menang dalam pilihanraya kerana faktanya undi mereka berada di mana mana,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah beliau, meskipun sumbangan undi oleh sesetengah komponen BN adalah kecil namun ia tetap penting kerana sejarah telah membuktikan, UMNO-BN tidak boleh membentuk kerajaan di Kelantan kerana gabungan itu kurang dua undi.

“Saya sayangkan UMNO dan kerana itu saya percaya UMNO sangat menghormati dan menjaga rakan komponen yang lain demi kekuatan BN dan UMNO itu sendiri.

Cukuplah kita hilang rakan komponen selepas PRU14, dan jangan BN hilang lagi rakan komponen,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast