KUALA LUMPUR – Pendedahan bahawa hanya terdapat lima orang Pakar Perubatan Keluarga dengan subkepakaran dalam bidang pediatrik di seluruh negara menimbulkan kebimbangan serius mengenai kemampuan sistem kesihatan terutamanya menangani peningkatan kes autisme dan ADHD.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Negara selepas soalan lisan dikemukakan Senator Dr RA Lingeshwaran berhubung persediaan kementerian melaksanakan saringan wajib pra-sekolah yang diumumkan pada Jun lalu.
Menurut jawapan rasmi KKM, kelima-lima pakar tersebut kini berkhidmat di Pulau Pinang, Selangor, Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala Sabah dan Sarawak langsung tidak mempunyai pakar dalam bidang berkenaan.
Ligeshwaran berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan tentang sejauh mana sistem kesihatan primer negara mampu melaksanakan pengesanan awal secara menyeluruh, sekali gus memberi kesan terhadap rawatan dan intervensi awal untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
“Tanpa pengesanan awal, ramai kanak-kanak berisiko tidak dikenal pasti mengalami autisme atau ADHD, sekali gus terlepas peluang menerima intervensi awal yang sangat penting untuk perkembangan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, saringan pra-sekolah merupakan langkah tepat, namun kekurangan tenaga pakar akan menyebabkan pelaksanaannya berdepan pelbagai halangan, terutama dari segi akses di kawasan luar bandar dan kos rawatan yang terpaksa ditanggung keluarga.
Selain pakar perubatan, Lingeshwaran turut menegaskan negara masih berdepan kekurangan profesional sains kesihatan bersekutu seperti ahli terapi pertuturan, ahli terapi carakerja dan psikologi klinikal yang berperanan besar dalam proses intervensi awal.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan memperluas latihan subkepakaran pediatrik dalam kalangan doktor keluarga serta mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas untuk menarik minat lebih ramai tenaga pakar.
Kerajaan juga disaran menubuhkan pusat rujukan serantau di setiap negeri supaya keluarga tidak perlu menanggung kos tinggi untuk mendapatkan rawatan di bandar-bandar besar.
Dengan laporan peningkatan kes autisme dan ADHD di negara ini, isu kekurangan pakar berkenaan perlu diberi perhatian segera bagi memastikan setiap kanak-kanak berpeluang menerima rawatan awal serta mengurangkan jurang kesihatan antara negeri. -MalaysiaGazette
















