KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA) dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan prinsip meritokrasi tanpa sebarang kompromi.
Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) berkata, sebanyak 78,863 calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM, Diploma dan setaraf berjaya mendapat tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda daripada 109,866 yang layak memohon melalui sistem UPUOnline.
“JPT komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi adalah telus dan adil berasaskan prinsip meritokrasi iaitu melalui pencapaian akademik 90 peratus dan pencapaian kokurikulum 10 peratus. Sistem UPUOnline menyaring setiap permohonan melalui pemarkahan merit masing-masing, dari tertinggi hingga terendah sebelum penawaran dibuat,” demikian menurut kenyataan JPT.
Menurut jabatan itu, proses pemilihan turut bergantung kepada markah merit, syarat am serta khas program pengajian, perakuan temuduga atau ujian jika diperlukan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan pemohon.
KPT turut memberi jaminan semua pelajar STPM/setaraf dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 mendapat tempat di IPTA.
“Berdasarkan rekod, sejumlah 1,255 orang calon lepasan STPM dengan PNGK 4.00 telah memohon, di mana 1,249 orang calon telah pun ditawarkan tempat, manakala seramai enam orang calon akan ditawarkan selepas melengkapkan dokumentasi yang diperlukan,” jelas JPT.
Kenyataan itu dikeluarkan JPT merujuk kepada dakwaan seorang calon STPM yang membuat aduan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kononnya tidak mendapat tawaran setimpal.
Ka Siong sebelum ini membuat kenyataan bahawa seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Edward Wong kecewa kerana tidak mendapat tempat melalui sistem UPU ke mana-mana universiti awam bagi jurusan perakaunan meskipun memperoleh pencapaian akademik tertinggi.
Beliau mendakwa Edward yang berasal dari Pulau Pinang memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus.
Mengulas mengenai perkara itu, JPT berkata calon tersebut sebenarnya telah berjaya mendapat tempat dalam program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka, iaitu pilihan kelima beliau sendiri.
Walaupun calon itu memperoleh PNGK 4.00 dan merit 99.90 peratus, kedudukannya dalam permohonan program perakaunan berada di luar kapasiti yang ditawarkan universiti-universiti utama.
Misalnya, di Universiti Malaya hanya 85 tempat disediakan sedangkan terdapat 1,127 calon merit penuh 100 peratus, meletakkan beliau di kedudukan 1,129.
Situasi sama berlaku di UPM, UUM dan UTM yang menerima ribuan permohonan dengan ratusan calon merit penuh, menyebabkan beliau tidak termasuk dalam kuota tawaran.
Justeru, tawaran diberikan berdasarkan merit dan pilihan sendiri sebagaimana calon lain.
“JPT ingin tegaskan bahawa semua keputusan UPUOnline dijana oleh sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon sekaligus menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada. Pada masa sama, JPT terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan,” kata JPT. – MalaysiaGazette

















99.90 lepas tu nak pakai kabel McA? Woiii ada 1,127 lagi calon yg dapat 100% merit..padahal tempat cuma 85 sahaja. Bermakna ada 1,042 calon yg merit 100% yg levih layak dari kau tp tak dapat..tapi mrj tak melalak pakai kabel mcm ko pun