KUALA LUMPUR – Kejayaan Malaysia menempatkan diri sebagai destinasi pelancongan nombor satu ASEAN sebagai sejarah baharu yang wajar dibanggakan, hasil usaha gigih kerajaan dan rakyat dalam mempromosikan negara di mata dunia pada masa kini.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Nga Kor Ming berkata, Malaysia berjaya mengatasi Thailand dari segi jumlah ketibaan pelancong antarabangsa bagi suku pertama tahun ini.
“Lebih 10 juta pelancong antarabangsa hadir dalam tempoh hanya tiga bulan pertama 2025. Ini adalah rekod tertinggi yang pernah dicatatkan negara.
“Kejayaan ini akan memperkukuh industri pelancongan sebagai penyumbang kedua terbesar hasil negara selepas sektor minyak dan gas,” kata menteri pembangunan kerajaan tempatan ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Tahunan ke-8 Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN8) di sini hari ini.
Kuala Lumpur bandar popular ASEAN
Kor Ming yang turut menyampaikan ucaptama pada beberapa forum serantau baru-baru ini menegaskan, Kuala Lumpur kini diiktiraf sebagai antara bandar paling popular di ASEAN.
Menurutnya, kejayaan itu terbukti apabila lebih 10,000 delegasi berhimpun di ibu negara sepanjang penganjuran siri forum berprestij anjuran KPKT.
Antara acara yang mendapat perhatian besar ialah ASEAN Real Estate Conference (AREC) yang membincangkan isu perumahan dan hartanah, ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) mengenai masa depan bandar pintar, serta Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC).
“Gabungan forum-forum ini menghimpunkan ribuan pemimpin, penggubal dasar dan pemain industri. Kuala Lumpur terbukti sebagai hab diskusi antarabangsa yang dinamik dan ‘vibrant’, selari dengan aspirasi rantau untuk membina bandar mampan,” jelas beliau.
Tambah beliau, kehadiran generasi muda dalam siri forum tersebut memberikan keyakinan besar kepada masa depan ASEAN.
“Kira-kira 45 peratus daripada lebih 10,000 delegasi adalah golongan muda. Ini amat penting kerana merekalah yang akan meneruskan agenda pembangunan bandar pintar.
“Idea segar mereka bakal mencorakkan dasar baharu dan memastikan rantau ini terus relevan dengan cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan bandar lestari di Kuala Lumpur adalah satu lagi pencapaian penting yang membuktikan kesungguhan Malaysia dalam mengangkat aspirasi pembangunan serantau.
“Pembangunan bandar tidak boleh dicapai secara bersendirian. Ia mesti berasaskan kerjasama, muhibah antara kaum dan kebaikan bersama. Hanya dengan kebersamaan, kita dapat mencapai pembangunan yang benar-benar mampan,” ujarnya.
Katanya, kejayaan Malaysia menarik jutaan pelancong antarabangsa dan pada masa sama menganjurkan forum besar ASEAN, memberi isyarat jelas bahawa Kuala Lumpur bukan sahaja destinasi pelancongan tetapi juga pusat diplomasi bandar, pelaburan dan inovasi serantau.
“Kuala Lumpur semakin diiktiraf bukan sekadar pusat pentadbiran atau ekonomi, tetapi medan utama pertemuan antarabangsa. Ini adalah pencapaian kolektif yang membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















