KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam usaha pemodenan audit, sekali gus menjadi rujukan serantau dalam memperkukuh ketelusan serta akauntabiliti.
Berucap di hadapan lebih 15,000 juruaudit dalaman dari 26 negara pada Persidangan Konfederasi Juruaudit Dalaman Asia 2025 (ACIIA) 2025, Wan Suraya berkata, profesion audit mesti bangkit bersama untuk menghadapi cabaran era ketidakpastian atau “polycrisis” (krisis besar berlaku serentak atau bertindih).
“Peranan kita sebagai juruaudit bukan sahaja untuk menilai masa lalu, tetapi membentuk masa depan, memperkukuh kepercayaan, melindungi sumber awam dan membina institusi yang berdaya tahan,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi ini.
Menurut Wan Suraya, Jabatan Audit Negara kini mengorak langkah daripada sekadar pengawasan kepada jangkaan risiko dan pencegahan awal.
“Juruaudit mesti menjadi arkitek daya tahan yang mampu mengesan ketidakaturan sejak peringkat awal serta mendorong penambahbaikan berterusan,” ujarnya.
Beliau berkata, inovasi digital menjadi tonggak pembaharuan audit negara melalui pelaksanaan E-Self Audit Tools, Mekanisme Ketidakaturan Serius, papan pemuka audit untuk pemantauan masa nyata serta penggunaan analitik Kecerdasan Buatan (AI) dan Big Data bagi meningkatkan ketepatan dan keberkesanan.
Katanya lagi, pindaan Akta Audit 2024 memperluaskan mandat Ketua Audit Negara supaya penemuan audit tidak hanya dilaporkan, tetapi diterjemahkan kepada tindakan pembetulan.
Tambah beliau, audit susulan serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terukur dan pelaporan sistematik kepada Parlimen kini menjadi budaya baharu dalam tadbir urus negara.
Wan Suraya berkata, Malaysia juga kini mengetuai Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Audit Susulan yang mana ia adalah inisiatif pertama seumpamanya di rantau ini, menonjolkan negara sebagai peneraju inovasi audit serantau dan penyumbang penting kepada komuniti audit global.
Beliau menegaskan, akauntabiliti tidak boleh dilihat sebagai beban pematuhan, sebaliknya mesti dijadikan budaya kerja.
“Ukuran kejayaan sebenar ialah pengurangan berterusan kelemahan berulang dalam pengurusan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Dengan memanfaatkan teknologi, membudayakan tadbir urus serta memperkukuh kerjasama serantau, Malaysia membuktikan audit mampu menjadi pemacu kepercayaan dan ketahanan dalam dunia yang penuh ketidakpastian,” tambah Wan Suraya lagi. – MalaysiaGazette
















