ISKANDAR PUTERI – Seorang pekerja warga asing maut selepas dihempap mesin pengangkut konkrit di sebuah tapak projek pembinaan di Taman Bukit Senadi di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Jasni Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.19 malam.
Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dari BBP Iskandar Puteri dan BBP Skudai dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kemalangan melibatkan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 34 tahun telah dihempap mesin pengangkut konkrit. Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang dihempap itu dengan menggunakan peralatan rescue tool sehingga selesai.
“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi tamat pada pukul 11.14 malam.- MalaysiaGazette
















