KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu lebih proaktif dalam memperkukuhkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar kerana bahasa tersebut kritikal untuk masa depan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan yang wajib dikuasai oleh setiap rakyat.
Namun penguasaan Bahasa Inggeris tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi keperluan dalam persaingan global, khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, teknologi dan pendidikan.
“Saya tidak boleh terima rakyat Malaysia yang tidak mampu menguasai Bahasa Melayu. Pada masa sama, kita mesti terima hakikat bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris terlalu penting untuk negara ini.
“Sebab itu KPM perlu lakukan lebih banyak usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas Ambank, hari ini.
Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk harus menggalakkan rakyat memperkukuhkan penguasaan bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab atau Perancis kerana ia memberi nilai tambah dalam pembangunan negara.
“Jika semua menerima peranan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, tidak ada sebab untuk kita meminggirkan atau menyukarkan rakyat untuk menguasai bahasa lain. Itu harus jadi sikap kita,” tambahnya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan bahawa komitmen mempertahankan kepentingan negara tidak boleh digugat dengan permainan politik sempit yang berasaskan kaum atau agama.
“Selain penguasaan bahasa, yang lebih penting adalah kefahaman serta komitmen untuk menjaga kepentingan negara. Kita
” tidak boleh biarkan segelintir kelompok kecil yang terdesak menggunakan sentimen kaum atau agama untuk mempengaruhi hala tuju negara.
“Dari segi politik, ekonomi dan sosial, negara tidak akan mampu bertahan jika dibiarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette















