SETIAP tahun, apabila keputusan kemasukan ke universiti diumumkan, pasti timbul persoalan dan keluhan, mengapa ada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, malah PNGK 4.00, tidak berjaya menempatkan diri dalam program tertentu, khususnya yang dianggap kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, perakaunan atau undang-undang.
Media semalam melaporkan seorang pelajar Edward Wong memperoleh PNGK 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi gagal mendapat tempat di universiti nombor satu Malaysia, Universiti Malaya (UM).
Yang menjadi seolah-olah sengaja dicipta persepsi buruk adalah pelajar keturunan Cina tidak akan mendapat tempat untuk kursus kritikal, walaupun mendapat keputusan STPM PNGK 4.00, sedangkan etnik bumiputera atau India pun, banyak yang mendapat PNGK 4.00 tetapi tidak mendapat Program yang dikehendaki.
Isu ini sering kali mencetuskan rasa kecewa, malah kadang-kadang salah faham dalam kalangan masyarakat yang menyangka kegagalan itu berpunca daripada faktor luar seperti diskriminasi kaum atau campur tangan tidak adil. Namun, hakikatnya jauh lebih kompleks.
Kegagalan sebahagian pelajar cemerlang untuk mendapat tempat dalam program tertentu adalah soal kapasiti, persaingan sengit dan strategi pengagihan yang adil, bukannya semata-mata isu merit atau ketidakadilan.
Kapasiti terhad
Ambil contoh program perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM), antara program paling berprestij di negara ini. Setiap tahun, lebih 11,000 pelajar cemerlang, termasuk ribuan yang memperoleh CGPA 4.00, memohon untuk masuk ke program tersebut. Namun, jumlah tempat yang ada hanyalah sekitar 300 sahaja.
Ini bermakna, sekalipun kesemua pemohon itu sempurna rekod akademiknya, realitinya 10,700 daripada mereka pasti tidak
akan mendapat tempat. Perbandingan mudah boleh dibuat dengan sebuah bas yang hanya mempunyai 40 tempat duduk. Walaupun 100 orang berbaris panjang, kesemuanya membawa duit tambang yang mencukupi, hakikatnya hanya 40 sahaja boleh dibenarkan menaiki bas. Bukan kerana 60 yang lain tidak layak, tetapi kerana kapasiti bas memang tidak mampu menampung semua penumpang. Inilah hakikat persaingan program terhad di universiti awam.
Dalam suasana di mana hampir semua pemohon membawa rekod akademik cemerlang, proses pemilihan menjadi sangat rumit. Jika semua orang mendapat A, bagaimana hendak memilih siapa lebih layak? Di sinilah faktor-faktor tambahan seperti aktiviti kokurikulum, temuduga, ujian khas, dan pernyataan tujuan (personal statement) mula memainkan peranan sebagai pembeza.
Perlu diingat, PNGK hanyalah satu dimensi penilaian. Universiti mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki kepimpinan, kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, daya tahan mental dan keupayaan berinteraksi dengan masyarakat. Justeru, sistem pemilihan perlu menilai lebih daripada sekadar angka.
Adil bukan bermakna semua dapat
Ada juga suara yang mendakwa ketidakadilan apabila pelajar 4.00 gagal diterima. Bagaimanapun, adil tidak semestinya bermakna semua orang mendapat apa yang mereka minta. Adil bermaksud setiap orang diberi peluang yang sama untuk
memohon, dan pemilihan dibuat berdasarkan kriteria yang telus serta kapasiti sebenar yang ada.
Bayangkan satu pertandingan larian dengan 1,000 peserta tetapi hanya ada 10 pingat. Walaupun ramai yang berlatih bersungguh-sungguh, akhirnya hanya 10 orang terpantas sahaja yang menerima pingat. Tidak bermakna 990 orang yang lain
tidak hebat, cuma ruang dan ganjaran yang ada memang terhad. Begitu jugalah dengan kerusi universiti.
Universiti juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan walaupun tidak semua pelajar dapat masuk ke program idaman mereka, peluang pendidikan tetap terbuka luas. Misalnya, pelajar yang tidak diterima ke dalam program perakaunan masih boleh meneruskan pengajian dalam program lain yang setara nilainya, seperti kewangan, ekonomi, perbankan, atau pentadbiran perniagaan.
Banyak graduan yang berjaya dalam kerjaya mereka bukan semestinya datang daripada program yang mereka pilih pada awalnya, tetapi kerana mereka memanfaatkan peluang yang diberikan. Selain itu, laluan profesional juga tidak semestinya tertutup. Seorang pelajar dari jurusan kewangan, misalnya, masih boleh menduduki peperiksaan profesional untuk menjadi akauntan bertauliah, selagi mereka memenuhi syarat-syarat tertentu.
Masyarakat kita sering kali meletakkan simbol status pada program tertentu. Seolah-olah hanya perakaunan, perubatan atau undang-undang sahaja yang membawa masa depan cerah. Hakikatnya, ekonomi moden memerlukan kepelbagaian kemahiran dan bidang. Industri kreatif, teknologi maklumat, keusahawanan, pemasaran digital, malah bidang kemanusiaan sekali pun, mempunyai ruang kejayaan yang luas jika dipupuk dengan kesungguhan.
Perlu ada anjakan pemikiran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar bahawa kejayaan tidak semestinya diukur berdasarkan program yang berjaya dimasuki, tetapi bagaimana seseorang itu memanfaatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang
diperoleh sepanjang pengajian.
Analogi tiket tambahan
Seperti bas yang mempunyai 40 tempat duduk, kadang-kadang syarikat bas menyediakan “reserve seat” dengan harga lebih tinggi atau laluan alternatif untuk sampai ke destinasi yang sama. Begitu juga dalam pendidikan. Jika laluan terus ke program idaman tidak terbuka, pelajar boleh memilih laluan lain sama ada melalui program berbeza, pengajian di institusi lain, atau pengajian profesional selepas ijazah.
Yang penting, matlamat akhirnya tercapai, walaupun jalannya berbeza. Tidak semua kejayaan datang melalui laluan lurus, banyak juga yang tiba melalui jalan berliku tetapi hasilnya sama gemilang. Fenomena pelajar cemerlang 4.00 gagal masuk ke program tertentu bukanlah bukti ketidakadilan, sebaliknya cerminan realiti persaingan yang sengit dalam dunia
pendidikan tinggi.
Universiti bukan menolak mereka kerana tidak layak, tetapi kerana ruang yang ada terhad dan pemilihan perlu dibuat dengan teliti. Inilah sebabnya dalam memperluaskan akses, Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenal dan membenarkan penubuhan lebih banyak Kolej dan universiti swasta, termasuklah membenarkan penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman
(UTAR) dan Universiti Wawasan. Universiti Awam juga dibenarkan untuk membuka sedikit tempat sebagai laluan alternatif untuk menyeimbangkan antara yuran penuh dengan yuran bersubsidi.
Apa yang penting, pelajar dan masyarakat harus memahami bahawa kegagalan mendapatkan tempat dalam program tertentu bukan penamat jalan. Laluan alternatif sentiasa wujud, dan kejayaan hakiki datang daripada kesungguhan, kebijaksanaan
menggunakan peluang, serta daya tahan menghadapi cabaran. Seperti bas yang penuh, ada masanya kita perlu menaiki kenderaan lain untuk sampai ke destinasi. Walaupun jalannya berbeza, yang penting kita terus bergerak ke hadapan.
Kori Ariff
Universiti Utara Malaysia
















